Sultan Nazrin berkenan rasmi SBPI Gopeng

Sultan Nazrin berkenan menandatangani plak simbolik merasmikan SBPI Gopeng.
Sultan Nazrin berkenan menandatangani plak simbolik merasmikan SBPI Gopeng.
A
A
A

GOPENG - Sultan Perak, Sultan Nazrin Mizzuddin Shah berkenan merasmikan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gopeng pada Khamis.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah serta Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isterinya, Datin Seri Aezer Zubin serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak diikuti bacaan al-Quran sebelum baginda menyempurnakan lafaz perasmian dan menandatangani plak.

Terdahulu, Fadhlina dalam ucapannya berkata, agenda pendidikan dan tujahan masa hadapan semakin mencabar terutama dalam era perubahan kini.

"Rempuhan-rempuhan teknologi kini tidak dapat dielakkan ditambah dengan evolusi sosial yang bergerak dalam nuansa pascanormal serta pelbagai impak dan implikasi yang muncul natijah pandemik Covid-19.

"Pengaruh yang semakin meluas daripada ledakan perisian dan peranti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ini telah mengubah landskap pembangunan modal insan, khususnya dari aspek pendidikan yang membentuk perwatakan anak bangsa masa hadapan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Fadhlina berucap pada Majlis Perasmian SBPI Gopeng yang disempurnakan oleh Sultan Nazrin di Gopeng pada Khamis.
Fadhlina berucap pada Majlis Perasmian SBPI Gopeng yang disempurnakan oleh Sultan Nazrin di Gopeng pada Khamis.

Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mempersiapkan murid dengan ilmu pengetahuan termasuk risiko pendidikan masa depan.

Menurut beliau, membina generasi masa hadapan yang unggul secara holistik merupakan tugas yang sangat penting.

"Pendidikan bukan seperti kilang percetakan. Pendidikan ialah proses memanusiakan manusia dan menginsankan insan.

"Oleh itu, proses ini memerlukan masa dan sentuhan manusiawi, pentadbirannya harus manusiawi. Pendidikan adalah proses pembelajaran sepanjang hayat yang manusiawi," katanya.

Tambah Fadhlina, kementerian berusaha untuk melestarikan sistem pendidikan lebih berkualiti dengan akses dan penyertaan yang mampu dimanfaatkan oleh semua golongan murid.

"KPM juga terus komited dalam melaksanakan agenda pendidikan yang holistik serta pembangunan potensi murid yang integral bagi memenuhi aspirasi negara.

"Pembangunan infrastruktur dan infostruktur yang lengkap dan kondusif sentiasa menjadi keutamaan KPM agar murid dapat menimba pengalaman pembelajaran dalam keadaan yang selamat dan kondusif," katanya.

Pada masa sama, Fadhlina berkata, SBPI Gopeng dibina di tanah seluas 10.9 hektar pada 13 November 2000 dengan kos sebanyak RM 30.4 juta.

Tambah beliau, ia merupakan salah satu daripada 14 buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) yang telah dinaik taraf dan mula beroperasi pada 17 Februari 2003.

"Kini enrolmen murid di sekolah ini adalah seramai 590 orang dengan bimbingan 55 orang guru dan 16 orang staf sokongan.

"Dalam jangka masa 21 tahun, pelbagai pencapaian telah dirangkul dalam aspek akademik, kokurikulm dan juga sukan di peringkat daerah, negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa," katanya.

Selepas majlis perasmian itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan menghabiskan masa lebih 30 minit melawat pameran yang disediakan pelajar dan guru.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!