Ancaman bom palsu di MOTAC: Suspek guna identiti individu lain

Rusdi (tengah) menunjukkan lakaran suspek yang dipercayai melakukan penghantaran bungkusan berisi objek menyerupai bahan letupan ke pejabat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Putrajaya pada 5 Jun lalu. FOTO SINAR HARIAN - HISYAMUDDIN AYUB.
Rusdi (tengah) menunjukkan lakaran suspek yang dipercayai melakukan penghantaran bungkusan berisi objek menyerupai bahan letupan ke pejabat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Putrajaya pada 5 Jun lalu. FOTO SINAR HARIAN - HISYAMUDDIN AYUB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis giat memburu lelaki yang memakai pelitup muka bagi menghantar bungkusan berisi objek menyerupai bahan letupan ke pejabat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Putrajaya pada 5 Jun lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya telah memperoleh lakaran suspek menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah pejabat syarikat penghantaran di Sungai Buloh, Selangor.

Beliau berkata, bukti CCTV itu dirakam pada hari sama ketika bungkusan berkenaan dikirim ke pejabat Datuk Seri Tiong King Sing.

Katanya, suspek dikesan memakai baju berwarna merah, jaket hitam dan penutup kepala berwarna hitam.

"Hasil siasatan yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya mendapati suspek melakukan proses penghantaran bungkusan berkenaan dengan menggunakan identiti individu lain.

"Berdasarkan siasatan dijalankan, individu yang identitinya digunakan oleh suspek telah memaklumkan bahawa dia tidak hadir ke pejabat penghantaran di Sungai Buloh itu.

"Malah dia juga tidak mengetahui tentang sebarang urusan penghantaran barang seperti yang dilakukan oleh suspek," katanya ketika sidang akhbar di IPD Brickfield di sini pada Khamis.

Rusdi berkata, pihak polis meminta bantuan orang ramai mempunyai maklumat tentang suspek dan kejadian itu untuk memaklumkan segera kepada pihak IPD Putrajaya atau menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.

Artikel Berkaitan:

Ekoran kejadian jenayah yang banyak berlaku, kata beliau, pihak polis menyarankan agar pihak syarikat dan institusi perbankan untuk mengarahkan pelanggan masing-masing menunjukkan sedikit wajah atau membuka pelitup muka semasa melakukan sebarang urusan.

Tegas beliau, langkah itu sangat penting bagi membolehkan pihak polis mengenal pasti identiti mana-mana individu semasa kejadian jenayah berlaku.

Selain itu menurutnya, penggunaan CCTV yang baik perlu diamalkan di premis-premis berkepentingan.

"Pemeriksaan dan penyeliaan terhadap CCTV juga perlu dilakukan bagi memastikan ia berfungsi dengan baik," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!