Syor pinda Perlembagaan gubal undang-undang jenayah Islam dibentang tahun ini

Dr Zulkifli Hasan
Dr Zulkifli Hasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Syor pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menjelaskan kuasa-kuasa negeri untuk menggubal undang-undang jenayah Islam akan dibentangkan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sebelum akhir tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, perkara tersebut akan dibentangkan oleh Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Menurutnya, selepas 22 kali bersidang, jawatankuasa khas berkenaan akan membincangkan semua isu-isu berkaitan termasuk pertindihan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah untuk pertama kali.

"Merujuk kepada pindaan Perlembagaan, ia juga dalam skop perbincangan oleh jawatankuasa khas ini. Namun begitu, ia masih dalam peringkat perbincangan dan akan mendapatkan lagi input dan sarana daripada pakar.

"Kita akan cuba usahakan untuk memberi penyelesaian yang baik dan Insya-ALLAH akan dibentangkan sebelum akhir tahun ini,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mengenai syor pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan undang-undnang jenayah Islam serta jawatankuasa mengkaji isu berhubung kalimah ALLAH.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, kertas cadangan penentuan dasar berhubung penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam telah dibentangkan dalam MKI pada 28 Ogos 2023 dan mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja pada Oktober tahun sama.

“Dalam masa sama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam tindakan untuk menggubal satu perundangan baharu berhubung perkara ini, selari dasar ditetapkan menurut kuasa di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Artikel Berkaitan:

“Pada masa ini semua negeri kecuali Perlis, Melaka dan Sarawak telah mewartakan fatwa mengenai larangan penggunaan kalimah ALLAH, solat, kaabah dan Baitullah.

“Larangan penggunaan kalimah suci Islam juga telah diperuntukkan di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam di kalangan orang Islam yang dibuat melalui punca kuasa di bawah Fasal 4 Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Susulan itu ujarnya, 10 negeri telah menguatkuasakan enekmen tersebut kecuali Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah-wilayah Persekutuan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!