KPKM hasrat patenkan musang king
ALOR SETAR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berhasrat untuk mempatenkan durian musang king di peringkat antarabangsa sebagai buah-buahan tempatan dari Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Jabatan Pertanian dan Perniagaan Antarabangsa kementerian akan berusaha mencari jalan bagi merealisasikan cadangan tersebut.
Beliau berkata, musang king perlu dipatenkan memandangkan klon durian berasal dari Malaysia itu amat popular di luar negara.
"Memang kena paten kerana musang king ini dari Malaysia. Itu yang kita harapkan sebab musang king ini begitu popular di mana-mana khasnya di China.
"Eksport durian sekarang menerusi perniagaan ke perniagaan (B2B), pihak kita mengawal kualiti supaya durian yang dihantar dalam keadaan segar," katanya.
Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan MADA Day 2024 di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Ampang Jajar di sini, pada Khamis.
Tambah beliau, pihaknya akan memastikan kualiti durian terpelihara termasuklah membawa buah-buahan tersebut ke luar negara menggunakan kapal terbang.
"Jadi, dalam masa tiga atau empat jam sudah sampai China," katanya.
Sebelum ini, Mohamad menyarankan semua pengusaha durian tempatan khususnya golongan bumiputera memulakan penanaman buah berkenaan dalam skala besar bagi membolehkan ia dipasarkan ke China antara lima hingga enam tahun lagi.
Jelasnya, usaha itu perlu dimulakan dari sekarang susulan pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China.
Beliau berkata, kejayaan pemeteraian antara kedua-dua negara perlu dimanfaatkan kerana aktiviti pengeksportan durian merupakan perniagaan yang bernilai tinggi dan membantu meningkatkan pendapatan pengusaha tempatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!