Kedah terima pelaburan tertinggi suku pertama tahun ini

Kulim Hi Tech Park merancakkan industri dan kemasukan pelabur asing ke Kedah. Gambar kecil: Muhammad Sanusi
Kulim Hi Tech Park merancakkan industri dan kemasukan pelabur asing ke Kedah. Gambar kecil: Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah berada di kedudukan teratas antara negeri yang menerima pelaburan tertinggi diluluskan bagi suku pertama tahun ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pencapaian pelaburan Kedah yang direkodkan adalah sebanyak RM31.31 bilion daripada jumlah keseluruhan pelaburan diluluskan ke Malaysia, sebanyak RM83.7 bilion.

Menurutnya, ia merangkumi 51 projek yang akan menawarkan 2,262 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

“Dari segi angka, Kedah berada di kedudukan teratas antara negeri yang menerima pelaburan yang diluluskan.

“Untuk sektor pembuatan merekodkan RM30.9 bilion atau 98.7 peratus, sementara sektor perkhidmatan sebanyak RM327.6 juta atau 1.3 peratus,” katanya di sini pada Khamis.

Muhammad Sanusi memaklumkan, Kedah menerima pelaburan asing (FDI) sebanyak RM30.6 bilion, iaitu 97.7 peratus, selain RM656.2 juta atau 2.3 peratus pelaburan domestik.

“Antara faktor pelaburan Kedah meningkat ialah kerana kita masih ada tanah (untuk industri).

“Antaranya, Fasa 4A Kulim Hi Tech Park (KHTP) yang akan diadakan majlis pecah tanah pada Ogos depan. Pada ketika itu, kita akan adakan majlis menandatangani persefahaman (MoU) bersama empat pelabur baharu yang akan beroperasi di situ melibatkan pelaburan FDI,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, majlis perasmian tersebut dijadualkan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Fasa 4A itu merangkumi keluasan 104 hektar, yang mana semuanya dana dalaman menerusi sukuk, bukan pinjaman daripada Persekutuan. Ia melibatkan dana kita sendiri.

“Kita hanya buat pinjaman daripada Persekutuan untuk fasa lima, merangkumi 222 hektar. Untuk yang ini (Fasa 5), kita buat pinjaman untuk beli tanah tersebut dan kita bayar berserta faedah empat peratus,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!