Kerajaan yakin Malaysia dapat lepasi sasaran KDNK digital 25.5 peratus menjelang 2025

Gobind Singh Deo
Gobind Singh Deo
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan yakin negara mampu melepasi sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) digital 25.5 peratus menjelang 2025 menerusi peluasan penggunaan 5G kepada perkhidmatan selain telekomunikasi, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, Digital Nasional Bhd telah merancang peluasan itu bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengenal pasti industri yang memerlukan akses 5G, sekali gus dapat menyediakan negara ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan teknologi masa depan.

"Perkara yang perlu adalah untuk kita sediakan infrastruktur dan pastikan kos infra atau kos yang diperlukan untuk menggunakan teknologi baharu 5G itu adalah munasabah.

"Ini bagi meyakinkan dan menarik minat semua industri untuk lihat cara mereka boleh pastikan perniagaan mereka bersedia dari segi teknologi supaya boleh menggunakan teknologi baharu untuk meningkatkan prestasi perniagaan mereka,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) mengenai peluasan 5G merentas sektor lain selain telekomunikasi.

Gobind berkata, penawaran perkhidmatan 5G selain daripada komunikasi dapat melonjakkan perkembangan industri negara.

"Usaha yang kita buat sekarang adalah memberi tumpuan kepada cara yang kita boleh memastikan setiap kawasan industri dalam negara ini mempunyai akses kepada 5G,” katanya.

Menjawab soalan Rushdan mengenai usaha Kementerian Digital dan DNB dalam mempromosikan 5G di kawasan luar bandar, Gobind berkata 54 peratus daripada keseluruhan tapak rangkaian 5G telah dibangunkan di kawasan separa bandar dan luar bandar.

Artikel Berkaitan:

"Setakat penghujung Mei 2024, liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk di seluruh negara telah mencapai 81.7 peratus,” katanya.

Setakat April tahun ini, terdapat kira-kira 13 juta pelanggan perkhidmatan talian 5G di seluruh negara dengan kadar penembusan sebanyak 39.2 peratus, katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!