Indeks Harga Pengeluar Malaysia meningkat 1.4 peratus
KUALA LUMPUR - Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia yang mengukur perubahan harga barangan di peringkat pengeluar, meningkat 1.4 peratus pada Mei 2024 berbanding 1.9 peratus pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sama seperti bulan sebelumnya, semua sektor mencatatkan peningkatan pada Mei 2024.
Beliau berkata, sektor perlombongan terus meningkat 6.6 peratus daripada peningkatan dua digit 10.0 peratus pada bulan sebelumnya, disumbangkan oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah (7.2 peratus) dan pengekstrakan gas asli (4.6 peratus).
"Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat perlahan 1.3 peratus (April 2024: 5.4 peratus), dengan indeks pengeluaran ternakan dan penanaman tanaman kekal masing-masing meningkat sebanyak 3.7 peratus dan 3.1 peratus.
"Pada masa yang sama, sektor pembuatan meningkat 1.0 peratus (April 2024: 0.8 peratus) disumbangkan oleh indeks pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (9.6 peratus),” katanya dalam kenyataan mengenai IHPR Pengeluaran Tempatan, Malaysia bagi Mei 2024 yang dikeluarkan pada Khamis.
Beliau berkata, bagi sektor utiliti, indeks bekalan air naik 8.7 peratus, manakala indeks bekalan elektrik dan gas meningkat 1.5 peratus.
Mohd Uzir berkata, pada asas bulanan, IHPR pengeluaran tempatan turun negatif 0.9 peratus daripada peningkatan 0.5 peratus yang dicatatkan pada April 2024.
Sektor utama mengalami penurunan dan telah menyebabkan kemerosotan indeks keseluruhan pada bulan ini, katanya.
Beliau berkata, sektor perlombongan turun negatif 5.5 peratus (April 2024: 2.1 peratus) disebabkan oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah (-6.8 peratus) dan pengekstrakan gas asli (-1.7 peratus).
Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan susut negatif 4.6 peratus daripada peningkatan 0.7 peratus pada bulan sebelumnya, sebahagian besarnya disebabkan oleh indeks penanaman tanaman kekal (-7.8 peratus), katanya.
"Begitu juga, sektor pembuatan turun negatif 0.1 peratus (April 2024: 0.3 peratus) disebabkan oleh pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-2.5 peratus).
"Sementara itu, indeks bekalan elektrik dan gas dan bekalan air kekal positif dengan masing-masing mencatatkan kenaikan sebanyak 1.1 peratus dan 1.4 peratus,” katanya.
Mengenai harga komoditi Malaysia yang terpilih, Ketua Perangkawan berkata, purata harga minyak sawit mentah (MSM) pada Mei 2024 ialah RM3,902.50 setiap tan, meningkat 2.8 peratus daripada Mei 2023, namun susut 8.3 peratus berbanding harga April 2024.
Menurut penyelidikan MIDF, momentum harga reda lebih awal daripada jangkaan, kembali kepada harga Februari 2024 apabila risiko cuaca panas dan kering telah berkurangan, katanya.
Dalam masa yang sama, pengeluaran minyak bijirin global pada 2024/25 diunjurkan meningkat kepada 687 juta tan, meningkat 4.0 peratus, manakala pengeluaran kacang soya adalah 422 juta tan, peningkatan sebanyak 6.0 peratus pada asas tahunan, katanya.
"Ini akan mendorong harga minyak sayuran dan minyak kacang soya ke arah aliran menurun, termasuk risiko pengurangan bekalan,” katanya.
"MIDF turut mengunjurkan harga MSM berada pada RM3,600 setiap tan sepanjang 2024, lebih rendah daripada jangkaan oada sekitar RM3,900 hingga RM4,200,” katanya.- Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!