Sasar RM2 juta jualan Pakej Durian Tourism tahun ini

Saidi (tengah) menunjukkan buah durian yang terdapat di Broga Orchard Hill pada Khamis.
Saidi (tengah) menunjukkan buah durian yang terdapat di Broga Orchard Hill pada Khamis.
A
A
A

NILAI - Tourism Malaysia menyasarkan RM2 juta nilai jualan Pakej Durian Tourism bagi tahun 2024/2025.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Saidi Bundan berkata, sasaran itu diletakkan selepas melihat sambutan yang agak positif bukan saja daripada pelancong tetapi penggiat industri.

"Nilai jualan pakej Durian Tourism bagi kempen yang berlangsung pada tahun 2022 merekodkan sebanyak RM107,000 dan angka ini terus melonjak kepada RM1.6 juta pada tahun 2023.

"Kalau tengok penglibatan ejen berbanding tahun lalu yang semakin bertambah, kita harapkan penjualan pakej durian tahun ini melebihi RM2 juta," katanya ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Pakej Agropelancongan Durian Tourism 2024/2025 di Broga Orchard Hill di sini pada Khamis.

Menurutnya, destinasi-destinasi percutian yang ditawarkan dalam Pakej Durian Tourism kali ini juga diperluaskan kepada 12 negeri berbanding tujuh negeri pada tahun lalu manakala hanya tiga negeri pada 2022.

Tambahnya, beliau percaya yang pakej pelancongan durian itu tidak hanya memberikan kepuasan kepada pencinta durian tempatan, tetapi juga mampu menarik minat pelancong antarabangsa terutamanya dari China, Brunei dan Hong Kong.

Selain itu katanya, dengan kerjasama 27 pengendali pelancongan tempatan, program terbabit merupakan salah satu inisiatif Tourism Malaysia bagi menambah kepelbagaian penawaran pakej pelancongan di dalam negara.

"Malah dapat memperkenalkan lebih banyak destinasi yang memberikan impak positif kepada perkembangan kegiatan ekonomi setempat.

Artikel Berkaitan:

"Selain menandakan sokongan kita terhadap program agropelancongan yang diterajui oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, promosi pakej ini juga mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan pelancongan lestari seiring dengan Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030," katanya.

Dalam pada itu, melihat kepada kepelbagaian musim buah-buahan di negara ini, beliau turut mencadangkan supaya diadakan program Pelancongan Buah-Buahan pada masa akan datang.

Ujarnya, ia juga sebagai salah satu usaha mempromosikan buah-buahan tempatan sekali gus memastikan pakej agro pelancongan ditawarkan tidak terhenti begitu saja apabila musim durian telah berakhir.

"Pakej durian ini timbul apabila adanya permintaan tinggi daripada pelancong terutama daripada negara China.

"Jadi kita tak mahu pakej yang kita bina ini hanya untuk promosi durian saja sedangkan di negara kita ini musim buahnya bersilih ganti dan kenapa tidak kita ubah suai kepada pakej buah-buahan lain," katanya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!