Tiga sahabat didakwa miliki senjata api, pisau
JOHOR BAHRU - Dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Seksyen di sini pada Khamis atas pertuduhan memiliki senjata api di Wadi Hana di sini dua minggu lalu.
Tertuduh, Soh Wee Hong, 29, Hoo Kim Wei, 26, dan Miss Laor Mikarat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memiliki senjata api iaitu sepucuk revolver warna perak dengan pemegang bercorak kayu tertera tulisan Taurus Brazil.
Kesalahan tersebut dilakukan di rumah beralamat di Jalan Alimat, Wadi Hana di sini pada jam 3.45 petang 14 Jun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penaliti Lebih Berat) 1971 dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan tidak kurang enam kali sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Irshad Mardi tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan di bawah Akta Senjata Api penalti lebih berat merupakan kesalahan yang
Ketiga-tiga tertuduh itu tidak diwakili peguam namun dua tertuduh warga tempatan itu akan memohon khidmat peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) manakala warga asing itu diperintah untuk mendapatkan khidmat guaman sendiri.
Sementara itu, di Mahkamah Seksyen berasingan, semua tertuduh didakwa memiliki sebilah pisau tertera tulisan China 'stainless' berukuran 25 sentimeter tanpa kebenaran yang sah.
Wee Hong dan Kim Wei mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rasidah Roslee dan minta dibicarakan sementara tiada pengakuan daripada wanita warga asing tersebut.
Pengakuan Miss Laor ditangguhkan sehingga mendapat jurubahasa dalam bahasa Thailand.
Mahkamah menetapkan 1 Ogos ini untuk sebutan semula kedua-dua kes berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!