[VIDEO] PRK Sungai Bakap: PN dakwa anggota keselamatan disalah guna

A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mendakwa berlaku penyalahgunaan kuasa anggota keselamatan dalam beberapa siri kempen pilihan raya termasuk yang sedang berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, anggota polis diarahkan ke tempat ceramah pembangkang untuk merakam dan mengambil gambar di kawasan berkenaan selain turut memantau bilik-bilik gerakan parti bertanding.

“Saya fikir ini telah melampaui dan mengganggu hak asasi berpolitik yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya akui pihak keselamatan mempunyai hak untuk buat rakaman tetapi adakah perlu sehingga 10 agensi dikawal, seolah kawalan dibuat melebihi apa yang sepatutnya berlaku.

“Sampai peringkat masuk ke bilik gerakan, memantau semua sekali seolah-oleh kebebasan politik terganggu,” katanya ketika membahaskan usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi tahun 2021 dan 2022 di Dewan Rakyat pada Khamis.

TUAN IBRAHIM
TUAN IBRAHIM

Artikel Berkaitan:

Menurut Tuan Ibrahim, perkara tersebut turut berlaku ketika beliau menyampaikan sumbangan ke kawasan DUN Cheka, Pahang, apabila diiringi polis dan anggota keselamatan.

“Pengalaman saya setiap kali turun ke Cheka, ada pihak polis mengiringi, merakam apa yang saya sumbangkan kepada rakyat.

“Gambar sumbangan diambil seolahnya pasukan keselamatan disalah guna untuk mengawal keselamatan parti pemerintah, bukan lagi kepada hak rakyat untuk berpolitik,” ujarnya.

Usai ucapan tersebut, RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit mencelah dengan menyatakan tindakan itu dilakukan untuk memastikan tiada ucapan kebencian dibuat selain program berjalan lancar dan menjamin keselamatan orang ramai.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.