Kes kematian denggi meningkat di Perak

Lima kematian yang berpunca daripada demam denggi telah dilaporkan berlaku di daerah Kinta manakala satu kes di Manjung.
Lima kematian yang berpunca daripada demam denggi telah dilaporkan berlaku di daerah Kinta manakala satu kes di Manjung.
A
A
A

IPOH - Kes demam denggi di Perak menunjukkan peningkatan begitu ketara dengan enam kematian telah direkodkan setakat ini.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Intergrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, jumlah itu membabitkan 4,410 kes yang dilaporkan dengan peningkatan 162 peratus berbanding 2,726 kes tahun lalu.

"Lima kematian yang berpunca daripada demam denggi telah dilaporkan berlaku di daerah Kinta manakala satu kes di Manjung.

"Keadaan ini cukup membimbangkan kerana menunjukkan peningkatan ketara berbanding 0 kes kematian yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun lalu," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan bagi tempoh 16 hingga 22 Jun lalu, terdapat tujuh lokaliti hotspot aktif masing-masing empat di daerah Kinta, dua di Larut Matang Selama dan satu di daerah Hulu Perak.

Katanya, tempat pembiakan Aedes yang tinggi di lokaliti wabak tersebut menjadi punca utama kejadian demam denggi meningkat.

"Antara tempat pembiakan nyamuk dijumpai adalah di lot kosong terbiar, rumah kosong tidak berpenghuni, longkang yang tidak diselenggara dan tangki septik individu tidak bertutup.

"Turut dijumpai tong tadahan air tidak bertutup di dalam dan luar rumah serta sampah sarap yang boleh menakung air di persekitaran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sivanesan berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak telah melaksanakan aktiviti pemeriksaan tempat pembiakan (PTP) di dalam premis di kawasan wabak diikuti aktiviti penguatkuasaan bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Ujar beliau, sehingga 22 Jun lalu, sebanyak 232,469 premis telah diperiksa dengan 2,508 notis kompaun kesalahan dan 295 notis pembersihan di bawah Seksyen 8(1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 telah dikeluarkan.

"Melalui Pejabat Kesihatan Daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga melaksanakan aktiviti larviciding, semburan ruang termal (SRT) dan semburan ultra low volume (ULV) di semua lokaliti berwabak bagi membasmi nyamuk Aedes yang menjadi vektor pembawa demam denggi," katanya.

Beliau meminta semua pihak peka dengan kebersihan persekitaran terutama di sekeliling kawasan kediaman setiap minggu.

"Bekas atau tong yang tidak digunakan hendaklah dibuang dengan cara yang betul dan tidak ditinggalkan terbiar sehingga menjadi tempat pembiakan Aedes," katanya.

Sinar Harian melaporkan dua kematian akibat denggi berlaku dalam tempoh seminggu di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Pengkalan Pegoh dekat sini, minggu lalu.

Keadaan itu menggusarkan penduduk apatah lagi berpuluh-puluh daripada mereka turut mengalami positif denggi sejak wabak berkenaan dilaporkan April lalu.

Berdasarkan statistik minggu lalu, terdapat hampir 40 kes terkumpul direkodkan di kawasan penempatan itu dengan mangsa mengalami gejala seperti demam, sakit kepala dan lenguh badan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!