Penjualan diesel menurun petunjuk subsidi disalah guna - Fuziah
PUTRAJAYA - Penjualan diesel yang turun mendadak selepas pelaksanaan rasionalisasi menunjukkan subsidi bahan api itu sebelum ini disalahgunakan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, sejak pelaksanaan penyasaran subsidi diesel 10 Jun lalu, terdapat perubahan besar dalam pola penggunaan diesel di Malaysia.
"Jualan diesel telah menurun sebanyak 30 peratus, yang setara dengan pengurangan 8 juta liter sehari, sementara pembelian diesel komersial, yang dijual pada harga pasaran, telah meningkat sebanyak 4 juta liter sehari," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.
Ujar beliau, stesen minyak berhampiran sempadan Malaysia juga mengalami penurunan 40 peratus dalam jualan diesel.
"Ini menunjukkan bahawa penyeludupan ke negara jiran adalah isu yang besar," jelasnya.
Kata Fuziah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa matlamat utama dasar rasionalisasi subsidi diesel adalah untuk memastikan bahawa pembaziran subsidi tidak lagi berterusan dan memastikan potongan perbelanjaan memberi manfaat kepada populasi yang lebih luas.
Pada saya, ini menunjukkan bahawa diesel yang disubsidi sebelumnya telah disalahgunakan. Di samping itu, stesen minyak berhampiran sempadan Malaysia mengalami penurunan 40 peratus dalam jualan diesel, menunjukkan bahawa penyeludupan ke negara jiran adalah isu yang besar.
Penyasaran subsidi yang sedang dikuatkuasakan membolehkan kerajaan dijangka menjimatkan kira-kira RM4 bilion setahun, dan mengukuhkan kedudukan kewangan negara.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!