Tiada cubaan seludup diesel ke negara jiran - KPDN Kelantan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan tidak mengesan sebarang cubaan menyeludup keluar diesel ke negara jiran selepas harga baru bahan bakar itu ditetapkan pada RM3.35 seliter.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, sejak 10 Jun lepas hingga kini tiada sebarang kes penyeludupan bahan api berkenaan direkodkan.

Beliau berkata, pemantauan dan penguatkuasaan sepenuhnya oleh anggota KPDN di stesen-stesen minyak di sempadan ternyata memberi kesan yang besar terhadap kegiatan itu.

"Kami percaya penguatkuasaan harga baru diesel menyebabkan penyeludup tidak mahu mengambil risiko kerugian sekiranya tertangkap selain keuntungan kecil berbanding sebelum ini.

"Apa yang menjadi masalah sekarang, penyeludup kini aktif kepada penyeludupan petrol pula kerana harga RON95 masih lagi pada harga subsidi dan jika berjaya diseludup keluar mereka mampu mengaut keuntungan besar,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Azman berkata, kegiatan itu sentiasa berlaku dan KPDN dengan kerjasama agensi lain termasuk Jabatan Kastam, Pasukan Gerakan Am dan polis marin sentiasa berkolaborasi bagi membanteras sebarang cubaan membawa keluar bahan bakar itu.

"Kes melibatkan petrol pula kebanyakan melibatkan penduduk tempatan menggunakan modus operandi mengisi minyak di beberapa stesen berlainan sehingga penuh tangki dan memindahkan ke dalam tong untuk diseludup keluar.

"Taktik menggunakan tangki tambahan juga masih dikesan berlaku pada kenderaan uzur yang diubah suai bagi mengisi minyak dalam kuantiti yang banyak sehingga 200 liter,” katanya.

Pada 7 Jun lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali melancarkan Ops Kesan 2.0 Pelaksanaan Penyasaran Subsidi Diesel.

Artikel Berkaitan:

Operasi itu bertujuan memastikan tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan dengan mengguna pakai alasan pelarasan harga runcit diesel di stesen minyak. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!