Elaun penjagaan kanak-kanak sejagat perlu penelitian rapi - Noraini

Noraini
Noraini
A
A
A

KUALA LUMPUR - Elaun penjagaan kanak-kanak sejagat seperti yang dicadangkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memerlukan penelitian yang rapi.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, pertimbangan tersebut wajar dilakukan dengan mengambil kira kesesuaian kedudukan fiskal kerajaan.

"Walau bagaimanapun kerajaan menyambut baik cadangan berkenaan dan akan terus meneliti kesesuaian pelaksanaannya, agar seiring dengan program sedia ada," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang memohon penjelasan sama ada kerajaan akan melaksanakan cadangan UNICEF mengenai elaun penjagaan kanak-kanak sejagat bagi menyokong perkembangan golongan berkenaan.

Sebelum ini media melaporkan, UNICEF menggesa pengenalan elaun berkenaan kepada golongan ibu bagi meningkatkan perluasan langkah perlindungan sosial untuk kanak-kanak di Malaysia.

Dalam pada itu Noraini (BN-Parit Sulong) menjelaskan, kerajaan telah melaksanakan skim Bantuan Kanak-Kanak (BKK) secara bersasar bagi memastikan keluarga di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) mendapat perlindungan sosial sewajarnya.

Menurutnya, sebanyak RM318 juta BKK telah diagih melibatkan 62,066 kes penerima kanak-kanak pada tahun 2023.

"Semasa pengumuman Belanjawan 2021, kerajaan telah menaikkan kadar bantuan bulanan skim BKK bagi kanak-kanak berusia bawah tujuh tahun yang layak sebanyak RM200 seorang, manakala tujuh tahun ke atas menerima bantuan sebanyak RM150 seorang.

Artikel Berkaitan:

"Untuk pertama kali juga kadar bantuan maksimum kanak-kanak dinaikkan daripada RM450 kepada RM1,000 sekeluarga," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!