'Hafiz Fauzan dipinjamkan ALLAH, dia anak yang baik' - Bapa

Hafiz Fauzan
Hafiz Fauzan
A
A
A

BATU PAHAT- "Hafiz Fauzan dipinjamkan ALLAH, saya bersyukur diberi peluang membesarkan anak yang baik, kata Abd Halid Sugiman", 44.

Abd Halid kini menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas rangka manusia dipercayai anaknya itu yang ditemui di Jalan Yong Peng-Muar dekat Kampung Sri Wangi, pada Isnin lalu.

Jelasnya, keputusan terbabit dijangka diperoleh antara satu hingga dua minggu lagi.

"Naluri saya kuat menyatakan rangka itu milik Hafiz, saya mula lega. Walaupun hanya rangka yang ditemui sekurang-kurangnya ada juga kuburnya nanti," katanya.

Sebelum itu, beliau menerima kunjungan Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid di rumahnya di Bandar Putera Indah, Tongkang Pechah pada Khamis.

Abdul Halid (dua dari kanan) menerima kunjungan Mohd Fared dirumahnya di Tongkang Pechah pada Khamis.
Abdul Halid (dua dari kanan) menerima kunjungan Mohd Fared dirumahnya di Tongkang Pechah pada Khamis.

Dalam pada itu, kerajaan negeri sedia membantu dalam pengurusan jenazah remaja yang dilaporkan hilang pada 26 Mei lepas, sekiranya rangka manusia yang ditemui pada Isnin lalu disahkan Hafiz Fauzan.

"Walaupun yang ditemui rangka namun pengurusannya sama seperti jenazah umat Islam dan saya difahamkan kini rangka berkenaan berada di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru untuk proses ujian DNA.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, kerajaan negeri juga bersedia membantu dalam keperluan lain, termasuklah insuran memandangkan remaja berkenaan merupakan pelajar," katanya.

Dalam pada itu, Pengasas Pertubuhan Unit Amal Van Jenazah Muafakat Daerah Batu Pahat, Wahyu Hidayat Jaapar berkata, pihaknya turut bersedia untuk menyediakan perkhidmatan van jenazah secara percuma.

“Sekiranya disahkan ujian DNA terhadap rangka nanti adalah milik remaja itu, kita sedia untuk membawanya daripada Johor Bahru ke Batu Pahat tanpa sebarang bayaran, bertujuan meringankan beban keluarga ini,” katanya.

Pada Isnin, polis mengesahkan penemuan rangka manusia dalam kebun durian yang disyaki milik Hafiz Fauzan, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Parit Raja (SMAPR) selepas dilaporkan hilang 26 Mei.

Turut ditemui motosikal sebuah motosikal dikatakan hampir sama digunakan Hafiz Fauzan berdasarkan nombor pendaftaran seperti dihebohkan ahli keluarganya di media sosial selepas kehilangannya.

Susulan penemuan rangka terbabit, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta pembabitan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah bagi mengenalpasti jika wujud unsur lain yang menyebabkan kematian mangsa.

Polis turut mengambil sampel daripada ahli keluarga mangsa untuk menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi menentukan rangka terbabit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!