Pelajar PDK maut ketika melintas jalan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RAUB - Seorang pelajar Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Warisan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Gali Tengah di sini maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di Kilometer 347 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, Siti Rahimah Albasri, 27, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai tergesa-gesa melintas dari kanan jalan (dari simpang Taman Kurnia Jaya) untuk pulang ke rumahnya di seberang jalan.

Menurutnya, ketika itu hujan dan aliran trafik agak sibuk.

"Disebabkan jarak terlalu dekat, kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita berusia 36 tahun dari arah Kuala Lumpur tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa.

"Akibat daripada perlanggaran tersebut, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ujarnya, keterangan saksi yang melihat kemalangan itu diambil dan kenderaan terlibat dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk menjalani pemeriksaan.

"Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan(APJ) 1987," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!