'Siapa kami jemput, itu hak UMNO Tuaran'

Hajiji (kanan) hadir sebagai tetamu jemputan pada mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Tuaran pada Sabtu lalu di Tuaran.
Hajiji (kanan) hadir sebagai tetamu jemputan pada mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Tuaran pada Sabtu lalu di Tuaran.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Bahagian UMNO Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menegaskan keputusan menjemput sesiapapun hadir dalam mesyuarat perwakilan UMNO Tuaran Sabtu lalu, adalah hak UMNO Tuaran.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Sabah berkata, keputusan untuk menjemput Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor adalah bagi menghormati formasi kerjasama Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional.

"Siapa yang UMNO Tuaran jemput untuk hadir di mesyuarat UMNO Tuaran itu adalah hak UMNO Tuaran. Lagi pun UMNO Tuaran tidak pernah membantah kehadiran pemimpin-pemimpin UMNO Sabah dalam majlis-majlis anjuran parti lain.

"Jemputan untuk kehadiran ke mesyuarat perwakilan UMNO Tuaran telah dipanjangkan kepada semua ketua-ketua bahagian UMNO Sabah melalui ibu pejabat UMNO Sabah. Itulah prosedur yang digunakan selama ini oleh UMNO Sabah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelas beliau lagi, kehadiran Hajiji dalam mesyuarat perwakilan juga sudah dimaklumkan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Malah beberapa minggu sebelum Presiden UMNO membuat keputusan untuk merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Tuaran, beliau sudah sedia maklum tentang kehadiran Ketua Menteri Sabah dan rombongan sebagai jemputan khas ke mesyuarat UMNO Tuaran.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO kerana masih meneruskan hasrat beliau untuk merasmi mesyuarat perwakilan UMNO Tuaran walaupun beliau mendedahkan ada sesetengah pihak yang menasihati beliau untuk tidak hadir.

"Selalunya ucapan perasmian dalam mesyuarat perwakilan bahagian dibuat secara terbuka bukan tertutup. Semua orang akan mengetahui apa yang diucap oleh perasmi. Strategi politik sudah tentu tidak akan didedahkan dalam ucapan perasmian dalam majlis terbuka seperti itu,"

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Abdul Rahman yang juga Abdul Rahman yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO menegaskan tidak wujud dakwaan terdapat dua kepimpinan dalam pentadbiran UMNO Sabah.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Abdul Rahman mengesahkan belum ada perbincangan atau mesyuarat walau sekali pun untuk menentukan secara rasmi dengan siapa UMNO Sabah akan bekerjasama.

Menurutnya, arahan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sejak tahun lalu ialah kepimpinan UMNO Sabah tidak boleh membuat sebarang kenyataan mengenai siapa UMNO Sabah akan bekerjasama sebelum keputusan rasmi dilakukan.

"Malangnya arahan Presiden UMNO itu tidak diendahkan. Kenyataan demi kenyataan telah dibuat kononnya UMNO Sabah akan bekerjasama dengan Parti Warisan (Warisan).

"Sedangkan kepimpinan UMNO Malaysia belum membuat sebarang ketetapan rasmi dan UMNO Sabah sendiri belum pun bermesyuarat mengenai isu ini," katanya.