PRK Sungai Bakap: Sembilan lagi permit diluluskan hari keenam kempen

Hamzah
Hamzah
A
A
A

NIBONG TEBAL - Polis mengeluarkan sembilan lagi permit untuk kempen bergerak, ceramah dan tinjauan mesra bagi parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, yang masuk hari keenam berkempen hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, ia menjadikan 34 permit telah diluluskan sejak bermula kempen bagi PRK itu pada 22 Jun lepas, dan tiada permohonan permit yang ditolak setakat ini.

"Semua pihak diminta tidak menimbulkan sebarang provokasi kepada sesiapa semasa berkempen. Pihak polis sentiasa memantau aktiviti di media sosial untuk mengesan sebarang penyebaran berita palsu, fitnah atau hasutan, yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak polis akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana parti politik atau individu yang melanggar undang-undang dan peraturan yang sedang berkuat kuasa.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai, menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding Sabtu lepas hingga 11.59 malam, 5 Julai. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: