Indonesia jadi huru-hara akibat serangan siber

Serangan siber menjejaskan jadual penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten. AFP
Serangan siber menjejaskan jadual penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten. AFP
A
A
A

JAKARTA - Rakyat Indonesia masih terjejas akibat serangan siber pada minggu lepas ke atas Pusat Data Nasional (PDN) sehingga menganggu perkhidmatan awam.

Serangan terhadap PDN yang terletak di Surabaya, Jawa Timur berlaku pada 20 Jun lalu sehingga menjejaskan perkhidmatan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten, serta pendaftaran pelajar di sekolah negeri di Serang, Banten, dan Dumai, Riau.

Sehingga Rabu, lima agensi yang terjejas telah berjaya memulihkan akses pangkalan data dan menyambung perkhidmatan mereka termasuk pejabat imigresen, Kementerian Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Pentadbiran Perbandaran Kediri di Jawa Timur, Kementerian Hal Ehwal Agama dan Agensi Perolehan Negara (LKPP).

Ketua Pengarah Maklumat dan Komunikasi Awam Kementerian Komunikasi dan Penerangan, Usman Kansong berkata, kerajaan berusaha memulihkan sekurang-kurangnya 18 pangkalan data pentadbiran pusat dan wilayah yang terjejas akibat serangan itu menjelang akhir bulan ini.

Bagaimanapun, katanya jumlah itu masih kecil berbanding 282 pangkalan data yang terjejas pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, pemerintah Indonesia enggan membayar wang tebusan AS$8 juta (RM37.7 juta) yang dituntut oleh penyerang yang melakukan serangan perisian hasad atau ransomware.

Penggodam menggunakan Brain Cipher, kemas kini perisian hasad LockBit 3.0 iaitu varian yang dilaporkan digunakan oleh kumpulan penggodam LockBit dalam serangan sama pada 2023 ke atas pemberi pinjaman syariah milik negara, Bank Syariah Indonesia (BSI).

Firma telekomunikasi milik pemerintah, PT Telkom Indonesia melaporkan penggodam turut menuntut wang tebusan AS$8 juta (RM37.7 juta). - Agensi

Artikel Berkaitan: