Kakitangan Media Prima kritikal, anak dalam kandungan maut

Tiga kenderaan terlibat dalam kemalangan dan mengakibatkan enam mangsa cedera dengan seorang wanita mengandung parah di Lebuhraya Utara Selatan arah utara, Kulai pada malam Rabu.
Tiga kenderaan terlibat dalam kemalangan dan mengakibatkan enam mangsa cedera dengan seorang wanita mengandung parah di Lebuhraya Utara Selatan arah utara, Kulai pada malam Rabu.
A
A
A

KULAI - Seorang kakitangan Media Prima Berhad bahagian pengiklanan di Bandar Baru Uda di sini yang hamil parah dan kandungannya tidak dapat diselamatkan selepas terlibat kemalangan di Kilometer 36.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini pada malam Rabu.

Kemalangan pada kira-kira 11 malam itu melibatkan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda BR-V dinaiki mangsa, Nurakma Mohd Kalimuddin, 37, bersama-sama suami dan anaknya dengan sebuah lori jenis Hino serta kereta Honda Accord.

Menurut suami mangsa, Abdul Rahman Ayub, 40, ketika kejadian dia bersama-sama isteri dan dua anak lelakinya sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, ketika itu Nurakma memandu kereta berkenaan dan apabila sampai di tempat kejadian, lori berkenaan yang datang dari arah depan hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

"Kami mulanya bercadang memandu secara bergilir-gilir. Kejadian berlaku dalam sekelip mata apabila lori tersebut memasuki laluan kami sehingga isteri tidak sempat mengelak dan melanggarnya.

"Kejadian ini mengakibatkan kami sekeluarga mengalami kecederaan dan paling teruk isteri saya," katanya ketika dihubungi pemberita.

Dia berkata, isterinya kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru dan sehingga kini masih kritikal serta tidak sedarkan diri manakala dua anak lelakinya dirawat di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di sini.

Sementara itu, rakan sekerja mangsa yang enggan dikenali berkata, difahamkan kandungan Nurakma yang berusia enam bulan tidak dapat diselamatkan.

Artikel Berkaitan:

"Kami berharap semoga ada keajaiban ke atas Nurakma dan dia lebih kuat dan diberi kesembuhan. Rakan-rakan sekerja semua mendokan keselamatannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Tan Seng Lee berkata, kemalangan tersebut melibatkan enam mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala, wajah dan badan.

"Sebuah lori dari arah utara-selatan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh besi pembahagi jalan di tengah jalan lalu memasuki ke arah bertentangan.

"Kereta jenis Honda BR-V dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian hadapan lori," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, kemudian Honda Accord yang juga datang dari arah utara gagal mengelak dan terus merempuh lori berkenaan.

Ditanya mengenai status kandungan mangsa, beliau memberitahu, suami mangsa memaklumkan semasa mendapat rawatan di HTSMTI kandungan isterinya masih dalam keadaan baik.

"Namun semasa membuat rawatan seterusnya di HSA didapati kandungannya bermasalah dan dinasihatkan oleh doktor untuk menggugurkan kandungan," ujar beliau.

Tambah beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!