TVET Jerman, peruntukan RM1.2 bilion bagi tangani kekurangan bakat

Tengku Zafrul Foto Bernama
Tengku Zafrul Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berharap program Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET) Jerman atau Latihan Vokasional Dual Jerman (GDVT), dapat diperhebat bagi menangani kekurangan bakat dalam sektor semikonduktor.

Ketika menyuarakan harapan itu, beliau berkata, kerajaan juga telah bersetuju untuk memberi sokongan sokongan fiskal sebanyak RM25 bilion dalam merealisasikan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS).

Malah, ini termasuk peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk melatih dan meningkatkan kemahiran 60,000 jurutera Malaysia berkemahiran tinggi bagi menangani kekurangan bakat dalam sektor berkenaan.

"Selain usaha bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan Kementerian Sumber Manusia dan Pengajian Tinggi, kita juga mengalu-alukan usaha gigih Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC) dalam menyelaraskan TVET Jerman atau GDVT ini.

"Sejajar dengan kehadiran beratus-ratus syarikat Jerman di Malaysia, saya berharap program yang dipandang tinggi ini juga dapat diperhebat untuk terus meningkatkan kemahiran generasi pekerja akan datang Malaysia dalam organisasi anda, terutama industri semikonduktor," katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan MGCC pada Khamis.

Acara itu turut dihadiri Duta Besar Jerman ke Malaysia, Dr Peter Blomeyer; Pengarah Eksekutif MGCC, Jan Noether; Presiden MGCC, Tim Groth dan Naib Presiden MGCC, Geetha Kandiah.

Selain itu, Tengku Zafrul juga mencadangkan kerjasama Malaysia-Jerman dalam bidang pendigitalan.

"Antara bidang menarik adalah pendigitalan ekosistem dan ekonomi halal. Walaupun Malaysia mencapai kemajuan ketara dan membangunkan kepimpinannya dalam industri halal, masih banyak lagi yang boleh dilakukan yang melangkaui inovasi model sukuk yang meraih penghargaan seterusnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tengku Zafrul berkata, walaupun syarikat Jerman yang bertapak kukuh dalam pendigitalan dapat menyokong Malaysia memanfaatkan teknologi seperti blockchain untuk menjamin integriti rantaian bekalan halal, Malaysia juga boleh menawarkan kepakaran, infrastruktur dan rangka kerja kawal selia halal serba kukuh untuk pasaran halal global yang dianggarkan mencecah US$5 trilion menjelang 2030.

Beliau turut berkongsi perkembangan berkaitan perjanjian perdagangan bebas (FTA) Kesatuan Eropah-Malaysia yang sedang dipertimbang dan berkata: "Kami sedang meneliti syarat-syaratnya."

Di samping itu, Malaysia juga telah meratifikasi dan melaksanakan dua perjanjian perdagangan bebas serantau terbesar dunia - Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

"Kedua-dua perjanjian itu mempunyai prospek yang boleh diperluas, tidak hanya bagi empat rakan dagang utama kita di bawah dokumen berkenaan, tetapi juga bagi pelabur asing, termasuk syarikat-syarikat Jerman di Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul juga menyifatkan penyertaan dalam perjanjian perdagangan akan membolehkan Malaysia meneroka peluang bagi tahap kerjasama perdagangan yang baharu.

"Selain beberapa FTA yang dalam perancangan untuk dimuktamadkan tahun ini, Malaysia juga sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Jerman dalam projek-projek berkualiti tinggi yang pada akhirnya memberi manfaat kepada kedua-dua negara serta industrinya,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!