BlackRock: Abdul Hadi gesa henti normalisasi bersama Israel

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan kerajaan membenarkan firma antarabangsa, BlackRock yang dikaitkan dengan Israel untuk melabur dalam hampir 100 syarikat di negara ini perlu dihentikan kerana ia salah dari segi agama politik, ekonomi dan kemanusiaan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, langkah menormalisasikan sekutu Zionis itu menunjukkan betapa kerajaan jahil dalam beragama dan bebal menguruskan ekonomi negara kerana mengambil jalan mudah tanpa mengutamakan prinsip atau moral.

Menurutnya, selepas Afrika, Amerika Latin dan Asia memutuskan hubungan dengan Israel termasuk desakan badan bukan kerajaan (NGO) terhadap kerajaannya, kini masih banyak negara Islam termasuk Malaysia yang enggan merungkai ikatan bersama rejim Zionis itu.

"Ketika masyarakat Barat di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah sendiri menunjukkan sikap protes terhadap kekejaman Zionis, tiba-tiba Malaysia yang masih banyak sumber ekonominya meletakkan diri dalam keadaan darurat sehingga menghalalkan perkara haram.

"Kewajipan menentang keganasan Zionis merupakan kewajipan umat, bukan sahaja bangsa Arab, Palestin dan kumpulan Hamas.

"Hakikatnya, ia wajib ditunaikan bersama dan patut difahami setiap penganut Islam daripada kalangan semua mazhab ahli Kiblat yang mencium Hajar Aswad (Batu Hitam) pada Kaabah di Makkah," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan BlackRock mempunyai kepentingan dalam saham Bursa Malaysia bernilai RM24.7 bilion dan RM7.9 bilion dalam bon kerajaan serta korporat di negara ini.

Menurut data yang boleh diperoleh secara terbuka setakat Mei 2024, BlackRock memiliki pelaburan ekuiti dalam 100 syarikat tersenarai di negara ini merangkumi sektor industri termasuk tiga institusi perbankan terbesar di negara ini iaitu Public Bank, Maybank dan CIMB.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Marang itu memaklumkan, masih ramai lagi dalam kalangan bukan Islam tidak ekstrem sepertimana Zionis memandangkan Israel hanya negara kecil berbanding bumi Arab lain yang mempunyai kekayaan melimpah ruah.

Tambah beliau, ALLAH SWT telah mengurniakan kehidupan dalam segala aspek termasuk ekonomi dan tidak terikat dengan satu sumber kecil atau sempit semata-mata.

"Malangnya, di kalangan umat Islam sendiri sangat lemah kefahamannya dan masih berkiblatkan Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta syarikat gergasi Barat yang bersifat penjajah, seolah-olah tidak ada rezeki di tempat lain.

"Sikap agresif negara haram Israel kini ditolak oleh majoriti negara dunia dan masyarakat antarabangsa yang bersikap madani, termasuk rakyat AS dan Eropah serta sekutunya," ujar beliau lagi.