Tak buat kerja tapi tuntut bayaran RM100,000

Pegawai SPRM Selangor membawa dua suspek yang disyaki mengemukakan dokumen tuntutan pembayaran palsu bernilai RM100,000 di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada Khamis.
Pegawai SPRM Selangor membawa dua suspek yang disyaki mengemukakan dokumen tuntutan pembayaran palsu bernilai RM100,000 di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua individu yang merupakan bekas ketua pegawai kewangan dan bekas ketua pegawai operasi syarikat berkaitan hartanah direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kerana disyaki mengemukakan dokumen tuntutan pembayaran palsu.

Menurut sumber, kedua-duanya dipercayai melakukan tuntutan pembayaran palsu bernilai RM100,000.

Sumber berkata, suspek yang merupakan seorang perempuan dan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an telah ditahan jam 2 petang pada Rabu, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

"Kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada Khamis dan dikenakan perintah reman selama tiga hari sehingga Sabtu.

"Perintah tahanan reman itu telah dikeluarkan oleh Majistret Ellyna Othman," katanya pada Khamis.

Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak Januari 2021 hingga April 2022.

Tambahnya, suspek dipercayai menerima kesemua bayaran secara pindahan akaun bank milik masing-masing.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki telah mengemukakan 42 dokumen tuntutan pembayaran palsu yang menyebabkan kerugian kepada syarikat, sedangkan tiada pembekalan barangan atau kerja-kerja telah dilaksanakan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.