[VIDEO] Hati-hati pilih platform dalam talian - Raja Muda Kedah

A
A
A

ALOR SETAR - Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin mengingatkan masyarakat agar memandang serius jenayah siber dan sentiasa berhati-hati memilih platform yang dipercayai kerana ramai telah menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Menurut baginda, jenayah tersebut bukan sahaja memberikan satu masalah baru kepada masyarakat dan negara semata-mata, malah ianya turut menimbulkan kebimbangan kerana memberi kesan kepada pembangunan sosial dan ekonomi yang sangat kritikal.

"Dengan perkembangan pesat dalam dunia digital masa kini, kebergantungan masyarakat terhadap teknologi maklumat dan komunikasi adalah sangat tinggi.

"Hal ini menyebabkan penipuan kewangan dan scam turut muncul bagaikan cendawan sehingga penjenayah menggunakan pelbagai taktik untuk menipu daya mangsa dan menyamar sebagai anggota polis, pegawai mahkamah, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pegawai bank dan lain-lain," titah baginda pada Khamis.

Raja Muda Kedah merasmikan Majlis Penutup Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Khamis.
Raja Muda Kedah merasmikan Majlis Penutup Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Khamis.

Tengku Sarafudin Badlishah bertitah demikian sempena Majlis Penutup Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini.

Artikel Berkaitan:

Menurut baginda lagi, penjenayah semakin licik untuk menjalankan modus operandi dan jenayah siber mereka dengan kecanggihan teknologi terutamanya melalui aplikasi teknologi Kecerdasan Buatan.

Jelas baginda, walaupun kecerdasan buatan ini tujuan keseluruhannya adalah baik, namun ia boleh digunakan untuk kegunaan jenayah seperti pemalsuan wajah, maklumat salah dan maklumat palsu.

"Penjenayah siber sudah mahir dalam mengeksploitasi capaian global internet dan perkembangan teknologi untuk melakukan jenis jenayah siber yang baru serta melakukan jenayah tradisional dengan cara yang lebih terkini.

"Semakin canggih kaedah yang mereka gunakan, semakin penting untuk kita mengetahui jenis-jenis ancaman yang terdapat dalam talian terutamanya bagi melindungi data peribadi kita sebagai individu," ujar Tengku Sarafudin Badlishah.

Tambah baginda, seiring dengan perkembangan teknologi masa kini, pengguna lebih cenderung menggunakan perbankan internet dan platform pembelian atas talian setiap hari.

Titah baginda, semasa menggunakan platform tersebut, pengguna kebiasaannya memasukkan maklumat peribadi seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon, nombor plat kenderaan dan alamat untuk tujuan rekod atau pengeposan barang yang dibeli.

"Di sini pengguna haruslah bijak dan sentiasa berhati-hati memilih platform yang sahih dan dipercayai kerana ia sebenarnya boleh mengundang bahaya kerana maklumat yang dimasukkan itu berupaya mendedahkan kita kepada manipulasi oleh penjenayah siber.

"Kebanyakan pengguna gemar membuat kata kunci keselamatan berasaskan lima maklumat yang saya sebutkan tadi kerana ianya mudah diingati. Oleh itu, ia memudahkan penjenayah siber atau scammer menjalankan aktiviti eksploitasi lebih-lebih lagi membabitkan akaun bank pengguna," titah baginda lagi.

Tengku Sarafudin Badlishah memberitahu, data dan maklumat peribadi yang dicuri atau diperolehi secara haram ini digunakan oleh penjenayah siber untuk melakukan serangan scam bagi mendapatkan keuntungan dalam jangka masa singkat.

"Pengguna juga harus sentiasa berwaspada ketika melakukan transaksi pembayaran atas talian.

"Dalam hal ini, kerahsiaan data mungkin sukar untuk ditentukan tetapi pengguna itu sendiri boleh memperkemaskan data peribadi di mana pengguna tahu data mereka digunakan untuk apa dan atas tujuan apa," jelas baginda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!