Suami isteri maut kereta terbabas dalam parit
PONTIAN - Sepasang suami isteri maut manakala seorang lagi cedera apabila kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Kampung Sungai Kuali Serkat di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.53 pagi itu, Md Ehshan Sulaiman,53, dan isterinya, Norlaila Mohd Amin,45, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Muhammad Shahrul Safiq Razib, 21, dilaporkan cedera.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Pegawai Bomba Kanan II Samad Kijan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.53 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, operasi menyelamat membabitkan seramai sembilan anggota dengan bantuan sebuah jentera.
“Setibanya di lokasi kejadian, anggota BBP Pontian Baru mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Corolla yang dinaiki tiga sekeluarga telah terbabas ke dalam parit berhampiran," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Samad berkata, kedua-dua mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sementara seorang lagi mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Pontian untuk mendapatkan rawatan.
Beliau berkata, operasi tamat jam 7.23 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!