Isteri curang selepas suami main kayu tiga
SHAH ALAM - Seorang wanita berusia 35 tahun bertindak curang selepas mengetahui suaminya main kayu tiga sebaik sahaja kelahiran cahaya mata kedua.
Pekerja swasta, Baizura, 35, berkata, selepas mengetahui suaminya, Azman bersikap curang, dia melakukan perbuatan sama untuk membalas dendam.
“Saya mengetahui suami main kayu tiga dengan seorang gadis yang dikenalinya di Tinder.
“Ketika itu saya sedang hamil anak kedua, bayangkan betapa remuknya hati apabila mengetahui perkara itu.
“Saya memilih untuk berdiam diri dan melihat sejauh mana suami akan bertindak.
“Ketika itu saya hanya pura-pura polos dan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri walaupun rasa cinta serta sayang semakin pudar,” ceritanya kepada Sinar Harian.
Baizura memberitahu, pada mulanya dia menyangka hubungan Azman dengan wanita berkenaan hanya sekadar teman secara maya, namun sangka baik itu meleset selepas melihat perbualan mereka dalam ruang sembang berkenaan.
Tambahnya, perbualan itu menunjukkan mereka telah lama berhubung dan pernah berjumpa serta melakukan hubungan intim beberapa kali.
Menurut Baizura, dia cuba untuk menidakkan perkara itu tetapi disebabkan ada bukti, dia terdorong melakukan perbuatan sama.
“Selepas sahaja pantang berakhir, saya tidak lagi melakukan hubungan intim bersama suami. Saya memilih untuk memuat turun aplikasi Tinder dan bertemu dengan seorang lelaki yang sudah berkahwin.
“Seperti bulan jatuh ke riba, lelaki berkenaan bekerja di syarikat sama dengan saya bekerja. Selepas perkenalan singkat di Tinder, kami beralih ke aplikasi WhatsApp dan kerap berjumpa serta makan bersama,” ujarnya.
Jelas Baizura, hubungan dengan lelaki berkenaan semakin rapat sehingga mereka pernah terlanjur.
“Bagaimanapun hubungan itu diketahui oleh suami. Saya berterus terang dan mengatakan ia sekadar untuk membalas dendam kerana mahu dia (suami) rasa apa yang saya rasa.
“Akhirnya masing-masing mengakui kesalahan, namun rumah tangga yang dibina selama tujuh tahun ini ibarat sedang menanti belah,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!