Subsidi: Pastikan jangan gali lubang, tutup lubang

Pada 9 Jun lalu mengumumkan keputusan kerajaan melaksanakan Program Penyasaran Semula Subsidi Diesel.
Pada 9 Jun lalu mengumumkan keputusan kerajaan melaksanakan Program Penyasaran Semula Subsidi Diesel.
A
A
A

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada 9 Jun lalu mengumumkan keputusan kerajaan melaksanakan Program Penyasaran Semula Subsidi Diesel.

Alasan utama diberikan kerajaan ialah untuk membendung ketirisan diesel yang kian berleluasa dan menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.

Berdasarkan naratif itu, kerajaan tidak lagi mampu menanggung kerugian dari segi kewangan daripada ketirisan tersebut.

Tahun 2023, kerajaan telah membuat perbelanjaan RM14.3 bilion untuk menampung subsidi diesel. Itu dari sudut ketirisan – memperbaiki kedudukan fiskal kerajaan.

Kerajaan pada masa sama memperkenalkan inisiatif bantuan Budi Madani sebagai mekanisme penyaluran semula subsidi kepada pihak memerlukan, merangkumi individu (Budi Individu), Budi Agri-Komoditi dan MySubsidi Diesel.

Melihat inisiatif tersebut (Budi Madani), penyasaran semula subsidi diesel itu kalau diikutkan tidaklah memberi kesan kepada rakyat.

Namun, di sebalik pelaksanaan Budi Madani, bagaimana penyasaran subsidi diesel itu benar-benar tidak memberi kesan kepada kenaikan harga barangan yang ditanggung rakyat selaku pengguna akhir.

Melihat tumpuan kerajaan, ia lebih banyak melibatkan aspek pengurangan beban dari segi kos pengangkutan semata-mata.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya, bahan api diesel banyak digunakan dalam aktiviti pengeluaran meliputi proses pembuatan bermula daripada bahan mentah sehingga produk akhir dihasilkan termasuklah kos penyelenggaraan jentera yang digunakan.

Malah, apabila membicarakan soal aktiviti pengeluaran dan pembuatan produk pengguna, secara logiknya ia tidak harus dilihat dari sudut kecil dan sederhana tetapi pada skala besar-besaran, memenuhi keperluan pengguna atau rakyat secara keseluruhan tanpa risiko kenaikan kos sara hidup.

Timbul juga persoalan dari segi jaminan sama ada penerima bantuan Budi Madani benar-benar gunakannya untuk perbelanjaan diesel? Bimbang jika bantuan itu ‘melencong’ daripada matlamat dihasratkan sehingga mencetuskan masalah lain.

Tidak mahu berlakunya situasi ‘gali lubang, tutup lubang’. Memang benar, subsidi amat membantu dalam memelihara kesejahteraan rakyat tetapi ia mempunyai ‘kos’ tersendiri perlu digalas kerajaan.

Dalam mengurangkan gangguan kepada pengguna di sebalik penyasaran subsidi khususnya melibatkan bahan api, kerajaan mungkin boleh mempergiatkan pelaksanaan dasar kecekapan tenaga dan bahan api alternatif sebagai antara strategi mengimbangi langkah tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!