[VIDEO] 'Terpaksa tebal muka tagih simpati jiran'
KUANTAN - Kepayahan hidup dalam mencari rezeki akibat penyakit lembam menjadi penyebab kepada Rabiyatul Fazlinaniswati Mohd Yasin, 41, terpaksa menagih simpati daripada jiran, demi kelangsungan hidup mereka.
Bukan itu sahaja, ibu kepada dua anak itu perlu memberi tumpuan sepenuh perhatian kepada anak bongsunya, yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU).
Menurutnya, ketiadaan kenderaan turut menyukarkan pergerakan untuk keluar mencari rezeki, sekali gus kebergantungan hidup sepenuhnya daripada ihsan orang ramai.
"Saya tidak boleh bekerja, anak ada masalah, setiap bulan perlu ke hospital untuk jalani terapi untuk bercakap.
"Saya tiada motosikal, jadi macam mana saya mahu bergerak dan mencari pekerjaan tetap," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Perkampungan Sungai Ular di sini pada Khamis.
Terdahulu, nasib Rabiyatul Fazlinaniswati mendapat perhatian Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Amal Team Kuantan apabila sering mendapat bantuan secara berkala, termasuk kerja-kerja membaiki pulih atap kediaman rumahnya.
Rabiyatul Fazlinaniswati memberitahu, kedaifan hidup yang dilaluinya bermula selepas ditinggalkan suami beberapa tahun lalu.
Kini, dia terpaksa menguruskan kehidupannya sendirian.
Jelasnya, kesukaran hidup menyebabkan mereka sering kali kehabisan bekalan makanan dan keperluan harian, sehingga terpaksa menebalkan muka untuk mendapatkan bantuan.
"Kami hidup susah dan bertambah susah sejak 2020 apabila ditinggalkan suami. Kadang-kadang kalau tiada lampin pakai buang anak, pinjam duit dengan orang RM20 atau RM30 untuk beli lampin anak, lepas itu dapat duit bantuan ganti balik.
"Jadi hidup harap bantuan orang. Ibu saudara ada bantu beri beras, ayam atau ikan. Tapi (kalau) tiada beras, saya ambil di masjid sebulan sekali. (Kadangkala) ada NGO dan beberapa individu yang beri sumbangan," katanya.
Bercerita lanjut, Rabiyatul Fazlinaniswati yang menetap di rumah pusaka arwah neneknya berkata bahawa rumah usang tersebut tidak sempurna seperti rumah orang lain.
Namun, luahnya, itulah satu-satunya tempat untuk mereka sekeluarga tinggal pada ketika ini kerana mereka tidak mampu menyewa tempat lain.
“Rumah ini atap bocor, tapi sudah dibaiki oleh NGO, hari ini mereka tukar, jadi tidaklah basah seperti sebelum ini.
"Tapi, pintu dan dinding itu (bila-bila masa) boleh tercabut, kalau di dapur, bila hujan air bertakung terpaksa saya letak batu-batu, selain bentangkan karpet," katanya yang harapkan bantuan orang ramai.
Sementara itu, Permudah Cara Amal Team Kuantan, Jamilah salleh memaklumkan Rabiyatul Fazlinaniswati sudah mendapat bantuan secara bulan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Menurutnya, namun infak daripada orang ramai diperlukan bagi membolehkan kerja-kerja membaiki kediaman Rabiyatul Fazlinaniswati dapat disempurnakan dengan sebaiknya.
"Kami hanya dapat bantu menukar sebahagian atap dari rumah. Kalau ikut keperluan banyak lagi yang perlu kami bantu seperti lantai dapur, bilik air dan atap bahagian dapur.
"Tapi kami kurang dana. Jadi, mohon sumbangan daripada orang ramai untuk gerakan projek ini, Insya-ALLAH," katanya.
Orang ramai boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0610041000271789 atas nama Rabiyatul Fazlinaniswati.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!