Dugaan perkahwinan zaman lambakan aplikasi jodoh
MENEMPUHI era teknologi dan digital pada masa kini benar-benar memberi dugaan kepada golongan yang sudah mendirikan rumah tangga.
Ini kerana semenjak kewujudan pelbagai media sosial dan aplikasi jodoh, ia telah menyebabkan pelbagai isu timbul terutamanya membabitkan pasangan curang.
Hal berkenaan merupakan perkara yang paling ditakuti dalam hubungan suami isteri kerana ia boleh menyebabkan ikatan yang dibina atas kasih sayang itu terlerai hanya disebabkan orang ketiga.
Hubungan kekeluargaan retak atau musnah akibat hubungan percintaan menerusi aplikasi jodoh seperti Tinder dan MiChat yang membawa kepada laporan muka hadapan Sinar Harian pada 28 Jun.
Perkara tersebut dijadikan laporan kerana lambakan cerita di media sosial memaparkan ramai pasangan mengakhiri hubungan berumah tangga disebabkan salah seorang daripada mereka berkelakuan curang dengan menggunakan aplikasi itu.
Ramai pemilik media sosial berkongsi cerita mengenai pasangan main kayu tiga dan lebih memilukan kebanyakan mereka sudah pun tidur bersama.
Berdasarkan kes-kes yang berjaya dikumpulkan oleh akhbar, kesemua mereka memberitahu bahawa tindakan untuk selingkuh disebabkan alasan tidak dilayan pasangan, tidak puas, kesunyian dan sebagainya.
Jika diteliti alasan-alasan berikut, ia tidak boleh dijadikan sebab untuk curang. Dalam perhubungan, komunikasi merupakan kunci kebahagiaan rumah tangga.
Sekiranya ada suatu perkara yang tidak disenangi, suami isteri perlu meluahkan hal tersebut agar ia tidak menjadi asbab pasangan menggunakan aplikasi jodoh bagi mencari ‘teman’ berbual yang akhirnya membawa kepada keruntuhan institusi kekeluargaan.
Akhir sekali, jika diamati ramai ‘pasangan lama’ tidak terjerumus dengan penceraian disebabkan main kayu tiga kerana zaman dahulu tidak wujud lagi media sosial mahupun aplikasi jodoh.
Kebanyakan mereka hanya fokus mencari rezeki dan nafkah untuk membesarkan anak-anak.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!