Syed Saddiq dedah sudah jumpa Anwar mohon peruntukan

Hantaran dimuat naik Syed Saddiq di Facebook pada Khamis.
Hantaran dimuat naik Syed Saddiq di Facebook pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan sudah berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berunding bagi mendapatkan peruntukan, namun tiada sebarang respons.

Beliau berkata, pihaknya sudah hampir setahun tidak menerima bantuan peruntukan kerajaan untuk rakyat kawasannya.

Menurutnya, disebabkan hampir setahun disisihkan membuatkan beliau mengambil keputusan untuk berlari sejauh 200 kilometer (km) dari Muar ke Parlimen sebagai tanda protes.

“Anwar minta saya jumpa dan berunding untuk dapatkan peruntukan, kedua-duanya saya sudah buat.

“Saya utuskan surat, tapi tiada balasan. Saya heret kerajaan ke mahkamah untuk tuntut janji mereka, masih sunyi sepi.

“Hampir satu tahun Parlimen Muar disisihkan oleh kerajaan, satu sen pun kami tak terima,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bekas Menteri Belia dan Sukan terbabit melancarkan inisiatif Langkah Muar itu sebagai tanda protes terhadap kerajaan serta meraih dana bagi pusat khidmat raya di kawasannya.

Difahamkan, ia berikutan kerajaan sedang merangka draf Memorandum Persefahaman (MoU) berkait penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, draf tersebut akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

Syed Saddiq memaklumkan, peruntukan rakyat tidak mencukupi kerana masih ramai yang datang ke pusat khidmat bagi memohon ‘Food Bank’, bantuan susu formula khas, lampin pakai buang buat ibu bapa uzur dan komputer riba untuk menyambung pelajaran.

“Jadi, saya mulakan inisiatif Langkah Muar untuk bantu mereka semua.

“Esok jam 6 pagi saya akan mula berlari 200km dari Muar ke Parlimen dan ini kali pertama saya lari, rasa gementar juga.

“Kalau terserempak tepi jalan nanti boleh tegur, nak berlari sekali pun boleh. Doakan saya selamat sampai Parlimen,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!