Tumpahan kimia: Seorang pengsan, 16 alami pening dan pedih mata

Sebuah kilang memproses produk berasaskan getah dikesan berlaku tumpahan bahan kimia. Tindakan nyahcemar dilakukan di lokasi kejadian menggunakan air. Foto JBPM
Sebuah kilang memproses produk berasaskan getah dikesan berlaku tumpahan bahan kimia. Tindakan nyahcemar dilakukan di lokasi kejadian menggunakan air. Foto JBPM
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang pekerja pengsan sementara 16 lagi mengalami gejala pedih mata dan pening akibat tumpahan kimia di sebuah kilang menghasilkan produk berasaskan getah di Bakar Arang dekat sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa yang pengsan telah dibawa ke hospital oleh pihak kilang manakala tiga lagi yang mengalami gejala pedih mata telah dihantar ke klinik berdekatan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 3.04 petang memaklumkan berlaku tumpahan bahan kimia dikenali sodium hypochlorite.

Menurutnya, PGO Kedah telah mengarahkan jentera FRT, LFRT, EMRS dan Hilux milik Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi kejadian mendapati berlaku tumpahan bahan kimia di kilang berkenaan.

"Jentera EMRS turut menghantar enam mangsa ke Hospital Sungai Petani berikutan mengalami gejala pedih mata dan pening," katanya.

Dilaporkan tumpahan kimia sodium hypochlorite dianggarkan sebanyak 60 liter dan tindakan nyahcemar dilakukan di lokasi kejadian menggunakan air.

Penggunaan kertas litmus digunakan bagi mengesan bacaan asid dan didapati dalam keadaan normal.

Artikel Berkaitan:

"Pada jam 5.23 petang, dilaporkan sebanyak tujuh lagi mangsa telah dibawa ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bagi pemeriksaan susulan.

"Kerja-kerja overhaul telah dilakukan di lokasi sehingga tiada lagi unsur bahaya dan operasi tamat sepenuhnya pada 5.48 petang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!