‘Work life balance’ di Malaysia kedua terburuk dunia

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

PETALING JAYA – Malaysia berada di kedudukan kedua terburuk di dunia berkaitan keseimbangan hidup dan kerja (work life balance) daripada 60 negara.

Menerusi kajian terkini sebuah syarikat perkhidmatan sumber manusia global, Remote mendedahkan Malaysia menjadi negara Asia yang terburuk dalam indeks tersebut.

“Kajian itu bertujuan untuk mewakili keseimbangan kehidupan kerja setiap negara dengan tepat, membayangkan semula frasa popular keseimbangan kehidupan kerja untuk menunjukkan bagaimana perniagaan di setiap negara meletakkan kehidupan sebelum bekerja.

“Rakyat Malaysia didapati bekerja keras daripada sepatutnya dan mempunyai sedikit atau tiada masa untuk berehat serta memulihkan tenaga daripada hari yang panjang selain tekanan di tempat kerja,” katanya.

Kajian Remote itu menganalisis data yang dikumpul pada Mac 2023 dengan mengambil kira beberapa faktor berkaitan tempat kerja seperti bilangan hari cuti tahunan berkanun, bayaran sakit berkanun minimum, bilangan hari cuti bersalin berkanun, peratusan gaji untuk cuti bersalin berkanun, gaji minimum, penjagaan kesihatan, indeks kebahagiaan, purata waktu kerja mingguan dan hubungan sejenis.

Berdasarkan analisis data itu, Malaysia memperoleh 27.51 markah daripada 100 dan mencatatkan purata kerja mingguan 40.8 jam berserta gaji minimum ASD1.07 (kira-kira RM5.04) sejam.

Malaysia turut berkongsi gelaran negara yang paling banyak bekerja bersama Mexico dan Nigeria.

“Pekerja di Mexico, Malaysia dan Nigeria adalah yang paling banyak bekerja, masing-masing menghabiskan lebih 40 jam secara purata setiap minggu, termasuk pekerja sepenuh masa dan sambilan,” kata laporan itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, negara yang mendominasi lima tempat teratas dalam senarai tersebut ialah New Zealand, Sepanyol, Perancis, Australia dan Denmark manakala tiga negara Asia teratas ialah Taiwan (tempat ke-16), Singapura (tempat ke-19) dan Korea Selatan (tempat ke-32).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!