Tunku Mahkota Ismail dijangka sempurnakan sambutan 100 tahun Tambak Johor
JOHOR BAHRU - Hari ini genap 100 tahun usia Tambak Johor yang menghubungkan Johor dan Singapura pada Jumaat.
Sambutan 100 tahun Tambak Johor yang diadakan pada sebelah pagi akan disempurnakan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi hantaran Facebook memberitahu program akan berlangsung sekurang-kurangnya sejam bermula jam 8.30 pagi sehingga jam 9.30 pagi.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna laluan Tambak Johor yang terlibat agar keluar lebih awal dan rancang perjalanan dengan sebaiknya.
Antara acara sempena 100 tahun Tambak Johor ialah menandatangani plague sambutan 100 tahun Tambak Johor dan perlepasan simbolik 100 ekor burung merpati.
Sejarah panjang Tambak Johor bermula pada 1920 apabila ia mula dibina berikutan keperluan mendesak menghubungkan Tanah Melayu dan Singapura untuk membawa barang dagangan susulan kewujudan pelabuhan besar di republik itu
Sebelum itu, Tanah Melayu dan Singapura hanya dihubungkan dengan feri dan sampan sebagai pengangkutan utama bagi membawa barang dagangan serta membolehkan orang ramai berulang alik.
Akhirnya selepas empat tahun dibina dengan sejumlah 1.15 juta meter kubik batuan granit diletakkan sebagai tambak akhirnya Tambak Johor dirasmikan pada 28 Jun 1924.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!