Lelaki direman tipu tukar hak milik kereta syarikat

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki berusia 51 tahun direman selama tiga hari bermula Rabu selepas disyaki terlibat dalam kes penipuan penukaran hak milik kereta sebuah syarikat di Machang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki terbabit dilantik oleh mangsa yang juga pemilik dan pengarah sebuah syarikat untuk menguruskan satu projek perniagaannya di kawasan Jeti Pasir Puteh.

Menurut beliau, bagi tujuan tersebut suspek diberikan kemudahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik syarikat.

"Bagaimanapun suspek gagal melaksanakan tanggungjawabnya bagi menguruskan projek tersebut dan ditamatkan perkhidmatan oleh pihak syarikat.

"Pemilik syarikat berusia 20-an menuntut suspek mengembalikan semula kemudahan kenderaan yang diberikan," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Jelas beliau, suspek enggan mematuhi arahan syarikat dan telah menggunakan dokumen palsu untuk membuat penukaran hak milik kenderaan terbabit tanpa pengetahuan pihak pengurusan syarikat.

"Siasatan lanjut mendapati lelaki warga tempatan itu turut disiasat di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan iaitu pemalsuan surat 'Warkah Permohonan Menghadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Kelantan Darulnaim Yang Menggunakan Jata Tubuh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V'," katanya.

Tambah beliau, suspek yang ditahan pada Rabu itu direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!