SinarPlus tawar hadiah wang tunai 'Mencari Siti' menerusi program Karnival Rakyat Karangkraf 2024
BERSEMPENA dengan Karnival Rakyat Karangkraf yang akan berlangsung pada 26 hingga 28 Julai depan, SinarPlus turut tidak ketinggalan mengadakan pelbagai program untuk menarik pengunjung yang akan hadir ke reruai SinarPlus.
Antara yang istimewa adalah program ‘Mencari Siti’ iaitu satu program yang julung-julung kali diadakan. Tujuannya adalah untuk menghimpunkan seberapa ramai wanita yang bernama ‘Siti’ pada hari kedua karnival tersebut berlangsung.
Menurut Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Harian, Meen Tahrin, nama ‘Siti’ dipilih kerana nama tersebut bunyinya klasik dan banyak digunakan pada wanita-wanita Melayu dahulu.
“Pun begitu, masih ramai yang menggunakan nama Siti pada pangkal nama anak perempuan mereka sehingga ke hari ini. Jadi, program ini diharapkan dapat mengumpulkan lebih ramai ‘Siti’ daripada pelbagai peringkat umur.
“Untuk menjadikan pertemuan antara ‘Siti’ ini lebih istimewa, kami akan mengadakan pertandingan seperti melipat baju paling kemas; mengasingkan beras, kacang hijau paling pantas; kupas bawang dan pelbagai lagi.
“Pada hujung program, kita akan mengetahui siapakah ‘Siti’ yang terbaik antara yang terbaik. Pemenang akan berpeluang membawa pulang wang tunai sehingga RM700 berserta hadiah iringan lain,” ujar Meen.
Justeru, bagi anda yang bernama ‘Siti’, jangan ketinggalan untuk menyertai pertandingan ini. Caranya cukup mudah, Daftar DI SINI atau di Kod QR yang disediakan. Maklumat lanjut hubungi nombor tertera 019 232 9032
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!