Kakitangan hospital maut motosikal rempuh SUV keluar simpang

Motosikal mangsa melanggar SUV yang keluar simpang secara melulu di Kampung Paya Tanjung, Jalan Melaka-Muar pada malam Khamis. Gambar kecil: Mohd Azlan
Motosikal mangsa melanggar SUV yang keluar simpang secara melulu di Kampung Paya Tanjung, Jalan Melaka-Muar pada malam Khamis. Gambar kecil: Mohd Azlan
A
A
A

JASIN - Perjalanan pulang seorang kakitangan Hospital Melaka bertukar tragedi apabila maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kampung Paya Tanjung, Jalan Melaka-Muar dekat sini pada malam Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa, Mohd Azlan Ramli, 39, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Pernu, Serkam selepas tamat bertugas shif petang.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dalam perjalanan pulang dari Hospital Melaka menghala ke Serkam.

Menurutnya, namun setiba di lokasi, motosikal mangsa yang sedang bergerak di laluan lurus merempuh sebuah SUV dipandu lelaki berusia 45 tahun yang keluar simpang secara tiba-tiba.

"Kenderaan SUV itu dipercayai keluar simpang untuk membelok ke kanan menuju ke Tampin tanpa memastikan keadaan yang selamat menyebabkan berlakunya nahas.

"Akibat kemalangan itu mangsa yang tidak sempat mengelak tercampak di atas jalan sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan akibat cedera parah di kepala dan badan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat manakala pemandu SUV berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!