Derita amah diseksa majikan
SELAYANG - Bukan sahaja tidak dibayar gaji, mangsa turut dipukul dan dirotan oleh majikannya.
Itulah nasib yang terpaksa dilalui seorang pembantu rumah warga Indonesia sebelum sepasukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berjaya menyelamatkannya di sebuah kediaman dekat sini, pada Khamis.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi dijalankan kira-kira jam 6.15 petang hasil maklumat diterima pihaknya.
Menurutnya, serbuan membabitkan sebuah rumah semi D dua tingkat iaitu tempat mangsa bekerja.
"Op Pintas ini bertindak menahan seorang wanita tempatan berusia 39 tahun merupakan majikan mangsa.
"Suspek yang juga bekerja sebagai akauntan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Atipsom 2007," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, mangsa seorang wanita warga Indonesia berusia 24 tahun telah diselamatkan.
Tambah Soffian, siasatan awal mendapati mangsa telah bekerja sejak kira-kira enam bulan lalu dan dipercayai didera oleh majikannya itu dengan cara memukul menggunakan rotan dan menampar.
"Terdapat lebam yang baru dipercayai kesan dera oleh majikan antaranya di bahagian tangan kiri dan pipi sebelah kiri.
"Mangsa yang dikatakan dijanjikan gaji RM1,400 sebulan juga mendakwa tidak pernah menerima sebarang duit gaji selama bekerja dengan suspek," ujarnya
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!