Empat sahabat maut kereta terbabas langgar tiang elektrik

Angota bomba cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit. Foto Bomba
Angota bomba cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit. Foto Bomba
A
A
A

KLUANG - Empat lelaki maut dalam kemalangan selepas kereta Proton Wira yang dinaiki mereka hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik di Kilometer 24 Jalan Renggam-Simpang Renggam dekat sini pada tengah malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Nor berkata, kejadian pada jam 12.18 tengah malam itu mengakibatkan pemandunya, Muhammad Adib Ahmad Shahfarin dan dua penumpang Muhammad Ziyad Azmi serta Ahmad Manan Zaini maut di tempat kejadian.

"Seorang lagi penumpang, Nor Aminul Fitri Nor Azmi meninggal dunia semasa mendapat rawatan di zon merah Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini. Semua mangsa cedera parah di bahagian kepala dan badan.

"Semua yang meninggal dunia berusia 21 tahun dan beralamat di Simpang Renggam. Muhammad Adib Ahmad Shahfarin merupakan penuntut di sebuah universiti swasta manakala Muhammad Ziyad Azmi bekerja sebagai operator Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

"Ahmad Manan Zaini pula bekerja sebagai penjaga stor sebuah pasar raya manakala Nor Aminul Fitri bekerja di bengkel kereta," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta terbabit datang dari arah Simpang Renggam menghala ke Renggam dan apabila sampai di lokasi kejadian telah terbabas ke tepi jalan lalu melanggar sebatang tiang elektrik.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih berkata, kemalangan tersebut mengakibatkan semua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing.

"14 anggota dikejarkan ke tempat kejadian dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu Rapid Intervention Motorcyle Team (RIM).

Artikel Berkaitan:


“Pihak bomba menggunakan alat khas bagi mengeluarkan semua mangsa. Tiga mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi kritikal dan dihantar ke HEBHK dan maut semasa mendapat rawatan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!