Dua tahanan lolos ditahan semula selepas 3 jam

Suspek yang berjaya ditahan semula dalam tempoh tiga jam di sekitar Semporna.
Suspek yang berjaya ditahan semula dalam tempoh tiga jam di sekitar Semporna.
A
A
A

SEMPORNA - Dua tahanan yang bertindak melarikan diri daripada pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya ditahan semula dalam tempoh tiga jam di dua lokasi berasingan di daerah ini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya telah melancarkan Op Tutup dan Op Kesan sebaik menerima laporan terbabit pada jam 1.07 petang.

Menurutnya, berdasarkan maklumat orang awam salah seorang tahanan terbabit telah melarikan di kawasan semak berhampiran Dewan Masyarakat Semporna.

"Sepasukan pegawai dan anggota polis telah melakukan pemeriksaan di lokasi sebelum menemui suspek pertama iaitu warga asing berusia 45 tahun dalam keadaan terbaring tidur dan tangan kanan masih bergari.

"Ketika tangkapan dibuat, suspek bertindak agresif dan cuba untuk melarikan diri namun berjaya ditangkap. Hasil pemeriksaan di kawasan sekitar juga turut menemui seluar lokap polis berwarna ungu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pada hari yang sama kira-kira jam 4 petang pihak polis turut menerima maklumat berhubung suspek kedua.

"Sepasukan pegawai dan anggota pergi ke sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Mesra Sri Jaa dan hasil pemeriksaan menemui lelaki warga tempatan berusia 30 tahun.

"Turut ditemui seluar lokap berwarna ungu daripada suspek," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Farhan berkata, susulan tangkapan tersebut, kedua-dua suspek telah dibuat pemeriksaan urin dan didapati suspek warga tempatan positif dadah.

"Kedua-duanya kini ditangkap dan disiasat di bawah Seksen 223/224 Kanun Keseksaan yang memperuntukan dua tahun penjara, denda atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan sehingga tiga tahun pengawasan polis," katanya.

Beliau dalam pada itu turut berterima kasih atas kerjasama orang ramai yang menyalurkan maklumat berhubung tahanan tersebut sehingga berjaya ditahan semula dalam tempoh tiga jam saja.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua suspek juga diminta terus menyalurkan kepada pegawai penyiasat Inspektor Adham Ramli di talian 011-10145004 atau 089-782020," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!