Jenayah komersial di Selangor catat kerugian RM257 juta, 2,128 diberkas

Hussein
Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah kerugian yang direkodkan bagi kes jenayah komersial di Selangor bagi tempoh lima bulan tahun ini berjumlah RM257 juta dengan tangkapan seramai 2,128 orang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, statistik itu dicatatkan sepanjang Januari hingga Mei dengan 3,037 kertas siasatan dibuka.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 2,789 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM176 juta melibatkan kes jenayah dalam talian manakala kes bukan dalam talian sebanyak 248 kes dengan nilai kerugian mencecah RM81 juta.

"Berikutan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor berjaya membuat tangkapan 2,128 individu termasuk 1,702 merupakan keldai akaun.

"Selain itu, sembilan serbuan dengan 960 tangkapan juga dibuat dan berjaya menumpaskan sindiket pusat panggilan bagi penipuan tipu pelaburan tidak wujud, tipu tawaran kerja, love scam serta along," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Hussein berkata, sebagai langkah pencegahan jenayah komersial, JSJK Selangor telah membuat 64 pameran, 578 ceramah dan 338 siaran media cetak serta media sosial di sekolah, institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan serta swasta.

Jelasnya, ini bertujuan bagi memastikan orang awam sentiasa berwaspada dengan modus operandi jenayah komersial dan siber terkini.

Dalam perkembangan lain, Hussein mengingatkan semua penyelia bagi memastikan tiada pegawai dan anggota yang diselia terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Usah terlibat dengan najis dadah, kita semua adalah contoh dan tauladan kepada masyarakat dan perlu memastikan integriti dan profesionalisme warga polis sentiasa terpelihara," ujarnya.

Tegasnya, tindakan akan diambil kepada mana-mana pegawai atau anggota yang didapati melakukan kesalahan serta mengingatkan lagi kepada semua tentang peraturan 3C iaitu Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!