RUU Keselamatan Siber diwarta pada suku ketiga 2024

Dr Zaliha Mustafa
Dr Zaliha Mustafa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pewartaan tarikh kuat kuasa Rang Undang-Undang Keselamatan Siber 2024 dijadual dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat di laman sesawang Parlimen, Dr Zaliha berkata, pewartaan tarikh kuat kuasa rang undang-undang itu hanya boleh dibuat selepas proses penggubalan peraturan siap dan draf diluluskan Jabatan Peguam Negara.

Sehubungan itu, beliau berkata, Agensi Keselamatan Siber Negara di bawah Majlis Keselamatan Negara (NACSA) sudah mengenal pasti dan sedang menyediakan draf empat peraturan.

"Ia merangkumi Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pelesenan Pemberi Perkhidmatan Keselamatan Siber) 2024; Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pengkompaunan Kesalahan) 2024; Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Penilaian Risiko dan Audit) 2024; dan Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pemberitahuan Insiden Keselamatan Siber) 2024.

"Rang undang-undang itu akan dikuatkuasakan sepenuhnya bagi meyakinkan rakyat bahawa persekitaran siber di negara ini selamat sepenuhnya daripada sebarang bentuk serangan siber,” katanya.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang bertanyakan bila Rang Undang-Undang Keselamatan Siber 2024 akan dikuatkuasakan sepenuhnya.

Dewan Rakyat pada 27 Mac lepas (Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen ke-15) meluluskan Rang Undang-undang Keselamatan Siber 2024 bagi meningkatkan keselamatan siber negara menerusi pematuhan terhadap langkah, standard dan proses tertentu dalam pengurusan ancaman keselamatan siber.

Rang undang-undang itu kemudian diluluskan Dewan Negara pada 3 April. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!