Pemilik Che Deris Garden Cottage kekalkan keindahan, kebersihan sungai

Mohamad Zin (kanan) menunjukkan persekitaran Che Deris Garden Cottage kepada Muhammad Nasir. Mohamad Zin (kanan) menceritakan pengalaman dan kesukaran membina Che Deris Garden Cottage kepada Muhammad Nasir. Muhammad Nasir (kanan) melihat aktiviti menaiki perahu yang disediakan di Che Deris Garden Cottage
Mohamad Zin (kanan) menunjukkan persekitaran Che Deris Garden Cottage kepada Muhammad Nasir. Mohamad Zin (kanan) menceritakan pengalaman dan kesukaran membina Che Deris Garden Cottage kepada Muhammad Nasir. Muhammad Nasir (kanan) melihat aktiviti menaiki perahu yang disediakan di Che Deris Garden Cottage
A
A
A

KOTA BHARU - Pemilik penginapan pelancongan Che Deris Garden Cottage yang terletak di tepi sungai di sini berusaha mengekalkan keindahan dan kebersihan walaupun mengakui sukar untuk menguruskan kawasan berkenaan.

Pemiliknya, Mohamad Zin Yaacob, 61, berkata, beliau diingatkan oleh agensi berkaitan supaya tidak mencemarkan alam semula jadi melalui aktiviti yang dijalankan.

Bagaimanapun katanya, ingatan itu diterima sebagai perkara positif yang dapat membantu kawasan itu kekal dengan habitat dan hidupan semula jadi sungai.

"Kita ada inisiatif menjaga (kawasan ini) supaya kekal cantik dan tidak merosakkan alam di sekitar ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Operasi Che Deris Garden Cottage.

Mohamad Zin yang dibantu isteri, Nik Hijan Abdul Fattah, 59, memberitahu, apabila menyusuri sungai ada kawasan yang boleh diberi jolokan 'kampung sampah' kerana penghuni berdekatan menjadikan sungai sebagai tong sampah.

"Kita sedih apabila air surut, ada sampah yang sampai ke sini kerana air mengalir ke laut. Jadi kita terpaksa memungut semua sampah dan menghantarnya ke tempat pelupusan sampah," katanya.

Jelas beliau lagi, bagi membolehkan Che Deris Garden Cottage beroperasi dengan selamat, beliau perlu patuh pada undang-undang yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selain itu, Mohamad Zin turut mengutamakan keselamatan 'tetamu' Che Deris Garden Cottage dengan menyediakan jaket keselamatan dan pengawal khas untuk memastikan keselamatan pengguna ketika melakukan aktiviti air termasuk bot dan perahu.

Artikel Berkaitan:

"Kawalan ketat perlu bagi mengelakkan kecederaan pengguna sepanjang aktiviti memancing atau beriadah di air," katanya lagi.

Berkongsi pembinaan Che Deris Garden Cottage, Mohamad Zin berkata, dia membuat perancangan awal sebelum persaraan kerana aktiviti berkaitan alam semula jadi dan pertanian menjadi minatnya sejak dulu.

Tambahnya, bagi menyiapkan kawasan itu, banyak kesukaran dihadapi berikutan terpaksa bermula tanpa bantuan pekerja.

"Sebelum ini tugasan saya melibatkan perancangan, arahan dan ada tugasan yang akan diambil alih oleh pegawai serta kakitangan tetapi apabila memulakan perniagaan ini, kita menjadi kuli dan bos," katanya.

Mohamad Zin kini berpuas hati kerana dapat mengerah keringat menjadikan Che Deris Garden Cottage satu realiti dan menggunakan masa dengan menanam bunga, menyelenggara kawasan serta menyambut tetamu.

Che Deris Garden Cottage dibangunkan pada akhir 2022 dan siap dalam tempoh setahun sebelum memulakan operasinya selepas itu.

Pencinta alam semula jadi boleh menginap di situ dengan melakukan pelbagai aktiviti menarik termasuk memancing dan menikmati udara segar dikelililingi pohon nipah dan pokok bakau.

Majlis yang dirasmikan oleh Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah turut dimeriahkan oleh kira-kira 30 bekas pelajar Sekolah Adabi yang mengadakan reunion di situ.

Mereka yang hadir turut menerima naskhah al-Quran terjemahan yang disumbangkan oleh Muhammad Nasir.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!