Perhilitan tangkap dua ekor gajah jantan

Gajah jantan liar yang ditangkap di Kampung Lepan Anjung, Dabong.
Gajah jantan liar yang ditangkap di Kampung Lepan Anjung, Dabong.
A
A
A

KUALA KRAI - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan pada Rabu menangkap dua ekor gajah jantan liar di Kampung Lepan Anjung, Dabong.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, penangkapan seekor daripada gajah itu pada jam 10 pagi menggunakan ubat pelali manakala seekor lagi pada jam 12 tengah hari.

Menurutnya, dua haiwan itu akan dipindahkan ke lokasi selamat dan jauh dari penempatan manusia dalam masa terdekat.

"Pemantauan pihak Perhilitan mendapati dua ekor gajah liar itu berada dalam keadaan sihat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, pada 20 Jun lalu, Pejabat Perhilitan Daerah Kuala Krai menerima aduan mengenai empat ekor gajah liar yang berkeliaran di sekitar Kampung Lepan Anjung, Dabong, Kuala Krai.

Tambahnya, empat anggota Perhilitan kemudiannya melakukan tindakan pemantauan dan kawalan sehingga 22 Jun sebelum menangkap haiwan berkenaan.

Bagaimanapun, jelas beliau, tangkapan dan pemindahan gajah liar ini bukan penyelesaian jangka panjang berikutan kampung terbabit berhampiran dengan kawasan hutan yang menjadi habitat asal hidupan liar berkenaan.

Justeru orang ramai disarankan agar lebih berhati-hati jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan bahaya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!