Kesebelasan terbaik JDT menanti MU

Pemain JDT gigih berlatih dalam usaha merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan. Foto FB Johor Southern Tigers
Pemain JDT gigih berlatih dalam usaha merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan. Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

PENGENDALI skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio dijangka menurunkan kesebelasan terbaik pada aksi suku akhir pertama berdepan Malaysian University (MU) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Sabtu.

Menurut Bidoglio, dia mahu menurunkan pemain-pemain terbaik pada perlawanan berkenaan kerana menyifatkan ia sebagai satu keperluan apabila beraksi di peringkat suku selain dalam usaha untuk mempertahankan trofi Piala FA.

“Saya tegaskan di sini bahawa ini adalah bola sepak dan ia merupakan perlawanan yang penting kepada kita.

“Lagi pun, kami adalah pasukan yang profesional dan kami percaya dalam bola sepak pelbagai perkara tidak terduga boleh berlaku.

“Oleh itu, kami perlu kekal fokus kerana setiap trofi yang dipertandingkan adalah cukup penting,” katanya.

Bidoglio, Foto FB Johor Southern Tigers
Bidoglio, Foto FB Johor Southern Tigers

Kedua-dua aksi suku akhir Piala FA antara MU dan JDT bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibahim susulan pasukan University Tigers itu tidak mempunyai stadium yang bersesuaian untuk dijadikan venue selaku tuan rumah.

Mengulas mengenai permintaan peminat bola sepak tanah air yang mengharapkan agar skuad Harimau Selatan menurunkan kesebelasan tempatan pada aksi berdepan MU, Bidoglio berkata, dirinya tidak akan berbuat demikian kerana ia dilihat tidak menghormati pertandingan yang dianjurkan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, orang ramai mungkin tidak tahu dengan kualiti yang dimiliki MU kerana mereka layak ke suku akhir apabila membenam pasukan Liga Super, Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0 di pusingan 16.

“Walaupun dibarisi ramai pemain muda tetapi mereka telah membuktikan sesuatu dan mereka juga telah membuktikan mereka sebuah pasukan yang bagus.

“Oleh itu, kami juga perlu memberikan yang terbaik bila berdepan mereka nanti,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!