Rakaman CCTV kes lelaki Israel belum diserah kepada pembelaan

Avitan Shalom (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat bagi prosiding sebutan dua kes memiliki 200 peluru dan memperdagangkan enam pistol, pada Mac lalu.
Avitan Shalom (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat bagi prosiding sebutan dua kes memiliki 200 peluru dan memperdagangkan enam pistol, pada Mac lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan bagi kes lelaki Israel yang berdepan dua kes memiliki 200 peluru dan memperdagangkan enam pistol, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, bahawa dokumen berkaitan rakaman litar tertutup (CCTV) belum diserahkan kepada pihak pembelaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam berkata demikian ketika sebutan semula kes yang dihadapi Avitan Shalom, 38, di hadapan Hakim, Norina Zainol Abidin.

Semasa prosiding, Mohamad Mustaffa berkata, majoriti dokumen berhubung kes itu telah diberi kepada peguam, Datuk Naran Singh.

“Terdapat beberapa dokumen sahaja belum diberikan, antaranya rakaman CCTV dan analisis forensik.

“Justeru, kami memohon mahkamah memberi masa sebulan untuk sebutan seterusnya, bagi bolehkan kami serahkan semua dokumen dan penyediaan pembelaan,” katanya.

Pendakwaan turut disertai Timbalan Pendakwa Raya, Rullizah Abdul Majid.

Sementara itu, Naran mengesahkan perkara itu dan tidak membantah tempoh masa yang dimohon pihak pendakwaan.

“Kami juga bersetuju sekiranya tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan,” katanya yang turut disertai peguam, Navinjit Singh.

Artikel Berkaitan:

Mendengar perkara itu, mahkamah menetapkan 30 Julai untuk pengurusan kes seterusnya bagi serahan dokumen tambahan terbabit.

Sebelum ini mahkamah menetapkan perbicaraan kes bermula 30 September, 1 hingga 3 Oktober yang kemudian bersambung pada 7 hingga 11 Oktober.

Pada 12 April lalu, Shalom didakwa di atas tuduhan memperdagangkan enam pistol jenis Glock 19 USA 9 x 19, Sig Sauer P320SP, Cougar 8000 FT, Glock 17 Gen4 Austria, M&P 9C Smith & Wesson Spring Field MA USA dan Stoeger Cougar 8000F (pindaan pada nombor siri) di sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, antara jam 6.46 petang, 26 Mac hingga 6 petang, 28 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang daripada enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm (8 peluru), dan tiga kotak Bullet Master Co Ltd (150 peluru) dan 42 peluru dalam tiga senjata berasingan.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!