Anak bukan bebanan, jadi bekalan akhirat ibu bapa

ANAK merupakan anugerah dan amanah kurniaan ALLAH SWT kepada pasangan suami isteri dalam kehidupan berumah tangga. -Foto: Canva
ANAK merupakan anugerah dan amanah kurniaan ALLAH SWT kepada pasangan suami isteri dalam kehidupan berumah tangga. -Foto: Canva
A
A
A

ANAK bukan bebanan, sebaliknya mereka merupakan anugerah dan amanah kurniaan ALLAH SWT kepada pasangan suami isteri dalam kehidupan berumah tangga.

Menerusi ayat ke-49 dan ke-50 surah asy-Syura, ALLAH SWT MAHA BERKUASA berhak mengurniakan anak atau tidak kepada sesiapa dikehendaki-NYA serta kepada pasangan yang mampu untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

Penolong Pendaftar Kanan, Unit Hal Ehwal Islam Universiti Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, Ustazah Noor Rashidah A Rahman menjelaskan, menjadi tugas kita sebagai hamba untuk meyakini apa yang dianugerahkan ALLAH SWT itu bersesuaian dengan kemampuan dan kekuatan diri.

USTAZAH NOOR RASHIDAH
USTAZAH NOOR RASHIDAH

“Elakkan bersangka buruk dengan takdir yang ditentukan ALLAH SWT kepada kita. Sama ada dikurniakan anak atau tidak, kedua-duanya adalah perkara terbaik untuk kita pada pengetahuan-NYA,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Dalam pada itu, beliau turut memperbetulkan persepsi sebilangan ibu bapa yang menganggap anak menjadi punca mereka tidak mampu beribadah ‘lebat’ seperti sebelum dikurniakan cahaya mata.

Jelas beliau, masih ramai keliru tentang maksud sebenar ibadah dan rata-ratanya menumpukan kepada ibadah tertentu seperti solat, puasa, zakat dan haji.

Artikel Berkaitan:

Sedangkan katanya, ibadah terbahagi kepada dua iaitu ibadah khusus seperti dinyatakan tadi dan ibadah umum.

“Ketahuilah setiap apa yang dilakukan oleh kita dalam kehidupan seharian boleh dijadikan sebagai ibadah kepada ALLAH jika memenuhi syarat tertentu.

“Mudah kata, apa jua pekerjaan dan urusan hidup setiap hari meskipun kita tidak duduk di dalam masjid atau surau ketika melaksanakan tugasan itu boleh dikira sebagai ibadah kepada ALLAH apabila mencukupi syarat-syaratnya.

“Syarat-syarat yang dimaksudkan termasuklah niat ikhlas kerana ALLAH, melakukan perkara tersebut bersungguh-sungguh dan tidak bertentangan dengan syarak,” terangnya panjang lebar.

KEHADIRAN cahaya mata menjadi penyeri dalam rumah tangga dan ia bukan bebanan kepada ibu bapa. -Foto: Canva
KEHADIRAN cahaya mata menjadi penyeri dalam rumah tangga dan ia bukan bebanan kepada ibu bapa. -Foto: Canva

Sama juga halnya apabila kita melaksanakan tanggungjawab sebagai suami isteri dan mendidik serta membimbing anak-anak yang merupakan ibadah kepada ALLAH.

Bahkan ujar Ustazah Noor Rashidah, mendidik dan membimbing anak-anak sebenarnya merupakan ibadah yang berpanjangan.

“Pahalanya bukan sekadar di dunia, tetapi juga menjadi bekalan akhirat kita. Hasil didikan ibu yang menjadikan anak-anaknya insan yang taat kepada ALLAH dan baik kepada masyarakat, itulah bekalan akhirat yang tidak putus untuk kita,” ungkapnya.

Anak ‘pelaburan’ akhirat

Seperkara lagi, penceramah itu menjelaskan, anak juga sebenarnya menjadi ladang pahala buat ibu bapanya jika dididik dan dibimbing dengan baik.

Malah katanya, ibu dan ayah yang mendidik anak-anak dengan penuh kesabaran serta memberikan memberikan yang terbaik untuk mereka akan beroleh pahala yang amat besar.

“Mengertilah, anak soleh dan musleh (memperbaiki diri dan mengajak manusia ke jalan ALLAH) yang lahir dari didikan ibu bapa hebat akan menjadi ‘pelaburan’ akhirat buat kedua orang tuanya.

MENDIDIK dan membimbing anak-anak adalah salah satu bentuk ibadah kepada ALLAH dan merupakan ibadah yang berpanjangan. -Foto: 123rf
MENDIDIK dan membimbing anak-anak adalah salah satu bentuk ibadah kepada ALLAH dan merupakan ibadah yang berpanjangan. -Foto: 123rf

“Oleh itu, jangan pernah berputus asa membimbing cahaya mata kita. Anak yang baik akan terus mendoakan ibu bapanya dan melakukan perkara baik untuk orang tuanya walaupun kita sudah meninggal dunia.

“Ibu bapa yang sentiasa berusaha mendidik anak-anak dengan sebaik-baiknya sehingga menjadi anak soleh, taat kepada perintah ALLAH SWT dan berbakti kepada orang tuanya dijanjikan jaminan rezeki daripada-NYA. Sebaliknya, orang tua yang lalai pula boleh mendatangkan musibah kepada mereka sendiri,” katanya.

Meskipun tanggungjawab dipikul ibu bapa menuntut kekuatan dan kesabaran tinggi, Ustazah Noor Rashidah berkata, ALLAH SWT menjanjikan imbalan buat mereka yang bersabar dalam mendidik anak-anak dengan pahala tidak terkira.

Antara motivasi yang boleh membangkitkan kesabaran ibu bapa adalah merenung hadis Rasulullah SAW:

"Barang siapa yang mengajarkan sesuatu ilmu, maka dia akan mendapat pahala orang yang mengamalkannya tanpa mengurangi pahala orang yang mengamalkannya sedikit pun.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

“Ingatlah, ibu bapa ialah guru pertama anak-anak. Setiap perbuatan baik dilakukan oleh anak-anak hasil didikan ibu bapanya akan menjadi pahala berterusan buat mereka,” katanya.

ANEKDOT

Anak ujian daripada ALLAH SWT

- Memiliki anak lelaki atau perempuan adalah anugerah ALLAH yang perlu dijaga dan dididik penuh kasih sayang.

- Mengertilah, anak-anak juga adalah ujian daripada ALLAH SWT seperti dinyatakan dalam ayat ke-15 surah at-Taghabun.

ANAK sebenarnya menjadi ladang pahala buat ibu bapanya jika dididik dan dibimbing dengan baik. -Foto: Freepik
ANAK sebenarnya menjadi ladang pahala buat ibu bapanya jika dididik dan dibimbing dengan baik. -Foto: Freepik

- Bahkan, anak-anak juga boleh menjadi musibah buat kedua orang tuanya sekiranya ibu bapa mengabaikan tanggungjawab mendidik, mengenalkan mereka dengan ALLAH dan memberi didikan akhlak mulia. Perbuatan tidak baik yang dilakukan oleh zuriat mereka hasil didikan ibu dan ayah tadi akan menjadi dosa berpanjangan buat orang tua.

- Andai dikurniakan anak perempuan sahaja, usah berduka kerana tiada dalil yang menunjukkan dengan memiliki anak lelaki, seseorang itu diberi darjat tertinggi.

- Islam juga amat memuliakan anak perempuan. Terdapat hadis riwayat Imam Muslim menyatakan, ibu bapa yang mendidik dan membesarkan anak perempuan dengan sempurna, anak tersebut akan menjadi penghalang daripada diseksa api neraka.

- Apa jua jantina anak kita, berilah sepenuh kasih sayang, didik, bimbing, mendoakan, mengasihani dan mengasihi mereka sedari kecil hingga dewasa.