Tipu pakej umrah: Lebih RM14 juta kerugian dalam tempoh kurang dua tahun

 King Sing
King Sing
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 349 aduan penipuan umrah direkodkan sepanjang 2023 hingga Mei tahun ini dengan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM14.09 juta.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, daripada jumlah itu sebanyak 19 kertas siasatan dibuka dengan lapan kes telah dikompaun sebanyak RM241,000.

Selain itu beliau berkata, pihaknya turut menggantung dan membatalkan lesen bagi dua agensi pengendali umrah berhubung dengan kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482].

"MOTAC menerusi pelbagai siri tindakan yang merangkumi sesi libat urus, kajian soal selidik, mesyuarat berkaitan dan perjumpaan bersama Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya pada awal 2024, bakal mengemas dan memperkukuhkan syarat-syarat lesen Perniagaan Pengendalian Pelancongan Luar Negeri Bagi Umrah dan Ziarah (lesen syarikat pengendali umrah).

"Tindakan ini bagi memastikan syarikat-syarikat yang kompeten, berkemampuan dan berdaya saing sahaja diberikan lesen syarikat pengendali umrah," katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang ingin mengetahui status terkini kertas siasatan berhubung aduan penipuan pakej umrah dan haji serta tindakan susulan yang telah diambil oleh pihak kementerian.

King Sing berkata, antara syarat baharu yang bakal diperkenalkan dan dikuatkuasakan adalah penyediaan jaminan bank bernilai RM200,000 oleh syarikat pengendali umrah.

Selain itu katanya, modal berbayar syarikat baharu pengendali umrah ditetapkan minimum RM500,000.

Artikel Berkaitan:

"Syarikat juga perlu mempunyai guru agama atau pembimbing, mengemaskini laporan kewangan syarikat, status kewangan ahli lembaga pengarah (ALP), penguatkuasaan kontrak perjanjian dengan bakal jemaah umrah dan kontrak perjanjian dengan syarikat pengendali di Arab Saudi," katanya.

King Sing berkata, pihaknya turut mengambil langkah pencegahan dengan memantau syarikat tidak berlesen dalam talian yang berkemungkinan melakukan penipuan dengan mengemaskini Senarai Amaran Entiti Yang Melanggar Akta Industri Pelancongan 1992 di laman sesawang dan media sosial kementeriannya.

Bagi tujuan itu jelasnya, MOTAC menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat dan menyahaktifkan akaun laman sosial entiti tidak berlesen itu.

"Sehingga Mei 2024, terdapat sebanyak 272 entiti yang tidak berlesen dan didapati menjual pakej pelancongan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!