'Segera pinda Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987'
SHAH ALAM – Pas menyelar tindakan Menteri Pengangkutan kerana gagal meminda Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 (Akta 333) bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu berkenaan sangat serius dan hukuman lebih berat patut dikenakan ke atas pesalah.
“Rakyat mendesak Akta 333 dipinda khususnya melibatkan hukuman bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian. Berdasarkan Seksyen 41 dan 44 Akta 333, hukuman maksimum adalah penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000.
“Ramai orang awam tidak bersalah termasuk kanak-kanak dan wanita mati akibat sikap pemandu mabuk yang semakin ramai mutakhir ini.
“Sampai bila rakyat yang tidak bersalah terus menjadi korban pemandu mabuk ini? Mengapa Menteri Pengangkutan masih berdiam diri dan belum meminda Akta 333?” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Justeru, Ahli Parlimen Kubang Kerian menggesa pindaan akta perlu disegerakan untuk menghalang lebih banyak kes akan berlaku.
“Menteri Pengangkutan pernah menjawab soalan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada Mac 2019 berhubung isu ini dan hanya memaklumkan akan meneliti serta mengkaji cadangan pindaan termasuk berbincang dengan pihak PDRM dan Peguam Negara.
“Namun, masih belum ada apa-apa dan rakyat masih menunggu perkembangan ini. Pas akan berusaha sebaik mungkin agar pindaan ini dapat dilaksanakan termasuk mendesak untuk mengharamkan penjualan arak secara berleluasa,” ujarnya.
Semalam, seorang juruteknik sebuah kilang maut manakala dua lagi rakannya cedera selepas motosikal yang ditunggang mereka dipercayai dirempuh pemandu mabuk berdekatan bulatan Jalan Kebun menghala ke Lebuh Raya Kesas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!