QSR Brands sumbang daging korban kepada asnaf di Malaysia, Kemboja
PETALING JAYA, 19 JUN 2024 - Bertujuan memastikan setiap Muslim dapat meraikan Hari Raya Haji, QSR Brands membawa kegembiraan dengan menyumbangkan daging korban kepada lebih 2,500 asnaf di tujuh negeri di Malaysia serta satu lokasi di Kemboja.
Dengan sumbangan berjumlah RM155,200 daripada Dana Wakalah, organisasi yang kekal sebagai penyumbang zakat terbesar di Malaysia ini telah menggerakkan sukarelawan di lapan lokasi untuk melaksanakan inisiatif ini selama tiga hari.
Selain kakitangan QSR Brands, inisiatif ini turut melibatkan kerjasama rakan strategik termasuk Jabatab Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk Kemboja, Lembaga Zakat untuk Kedah dan Selangor, Bahagian Zakat dan Fitrah untuk Sabah dan Sarawak serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk Melaka.
Sepanjang tempoh pengagihan yang bermula pada 16 Jun 2024, sukarelawan menghabiskan lebih lapan jam setiap hari memotong daging segar untuk diedarkan kepada penduduk setempat dan jemaah masjid di Sabah, Sarawak, Kedah, Kelantan, Melaka, Johor, Selangor dan di Kemboja.
Pada tahun 2024 sahaja, QSR Brands telah menyumbang lebih RM468,887 melalui dana Wakalahnya. Melalui dana yang diperuntukkan untuk aktiviti kebajikan ini, Jabatan Halal dan Syariah organisasi tersebut secara konsisten berusaha membantu komuniti asnaf di seluruh Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif QSR Brands, Nehchal Khanna berkata, dalam 50 tahun mereka berada di Malaysia, usaha menyokong komuniti yang kurang berkemampuan telah menjadi komponen penting dalam perniagaan.
"Sama ada hidangan lazat dari jenama kami atau pakej bantuan yang disusun oleh rakan kongsi kami, kepuasan yang datang daripada membantu mereka yang memerlukan adalah sangat tidak ternilai.
“Kami berharap untuk meneruskan usaha murni ini supaya kami dapat memecahkan kitaran kemiskinan dan membasmi kelaparan," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Halal dan Syariah QSRB, Hayazi Darus menambah, antara tonggak utama Islam adalah zakat serta haji dan atas tuntutan agama itulah mereka berusaha untuk memberikan sedikit kegembiraan kepada golongan kurang berkemampuan.
“Kami berharap melalui inisiatif yang seikhlas hati ini dalam suasana perayaan penuh berkat, kami dapat meringankan kelaparan dan menambah kegembiraan kepada sambutan Raya Haji komuniti asnaf kami," katanya.
Sejak 2022, QSR Brands melalui dana Wakalahnya telah menyumbang lebih RM3.93 juta untuk membantu lebih 75,000 asnaf.
Ini termasuk aktiviti khidmat masyarakat QSR Brands termasuk sumbangan lebih RM32.4 juta sepanjang 14 tahun lalu melalui program KFC Add Hope dan lebih RM300,000 untuk pemulihan kanser melalui program Pizza Hut’s Hut to Heart.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!