Tiga anggota tentera cedera, helikopter mendarat cemas
KLUANG - [DIKEMAS KINI] Seorang pegawai dan dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) mengalami patah tulang belakang selain luka-luka di bahagian anggota badan serta kecederaan yang belum dikenal pasti semasa melakukan latihan penerbangan malam di Kem Mahkota Kluang dekat sini pada awal pagi Jumaat.
Perhubungan Raya Tentera Darat (PRTD) dalam satu kenyataan memberitahu, tiga anggota berkenaan yang merupakan jurulatih helikopter, penuntut kursus dan krew kuatermasters melakukan pendaratan kecemasan di kem terbabit.
"TDM mengesahkan sebuah pesawat Agusta A109 LOH telah melakukan pendaratan kecemasan di mana kejadian berlaku semasa sesi Latihan Penerbangan Malam, Army Aviation Basic Official Course di Landasan Terbang Kluang, Rejimen 881 Pasukan Udara Tentera Diraja (Rej 881 PUTD), Kem Mahkota Kluang pada jam 1.35 pagi tadi 28 Jun 2024.
"Kesemua anak kapal berada dalam keadaan stabil dan dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom untuk menerima rawatan," kenyataan itu pada Jumaat.
Dalam pada itu, PRTD berkata, susulan kejadian itu pihak TDM menghentikan penerbangan sementara helikopter berkenaan dan pemeriksaan akan dilakukan untuk mengendalikan status pesawat itu dengan segera.
"Pada masa sama, satu lembaga siasatan akan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian.
"TSM juga memohon orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan mendoakan semua anak kapal diberikan kesembuhan," tambah itu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!